ORANG Kelainan Upaya (OKU) biasanya akan mengalami sedikit kesukaran dalam melakukan aktiviti harian. Namun begitu, ia bukanlah satu halangan buat mereka kerana sudah terbiasa melakukan tugasan harian itu seperti manusia normal.
Namun begitu, ada beberapa kekangan yang mereka perlu meminta pertolongan daripada orang sekeliling bagi memudahkan urusan memandangkan kemudahan yang disediakan untuk golongan OKU masih lemah.
Terbaharu, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Paris Ashiqin melihat sendiri kesukaran seorang lelaki OKU yang berkerusi roda tidak mendapat layanan yang sepatutnya ketika berada di salah sebuah kaunter khidmat pelanggan syarikat sistem kad yang beroperasi di pusat beli-belah, NU Sentral, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Menurut wanita yang bekerja sebagai pegawai perhubungan awam itu berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 12 tengah hari dan premis kaunter berkenaan agak lengang.
"Saya secara kebetulan ke kaunter syarikat berkenaan untuk menyelesaikan isu e-dompet saya yang tidak dapat digunakan.
"Lelaki OKU berkenaan berada di depan saya dan apabila nombor gilirannya dipanggil, dia terus menuju ke arah kaunter tersebut.
"Tetapi kehadirannya tidak diendahkan, sampaikan saya sendiri terpaksa memberi 'hint' kepada penjaga kaunter berkenaan," katanya kepada Majoriti.
Menerusi gambar yang dikongsi Paris, lelaki OKU yang menggunakan kerusi roda didakwa terpaksa berdiri dan berpegang pada meja kaunter untuk bercakap dengan kakitangan syarikat tersebut.
Jelas Paris, tujuan dia menularkan gambar tersebut bukanlah untuk mengaib sesiapa tetapi sekadar memberi peringatan dan pengajaran pada orang awam.
"Sepatutnya, kakitangan tersebut alert (peka) dengan keadaan sekeliling dan saya sendiri pun dah bagi tahu ada pelanggan OKU yang menggunakan kerusi roda tetapi dia 'buat bodoh' sahaja.
"Memang saya marah sebab lelaki itu terpaksa berdiri. Saya lihat dia masa itu sangat 'struggle' pada waktu kejadian.
"Sepatutnya syarikat besar seperti ini menyediakan syarikat yang lebih mesra OKU," katanya.
Sehubungan dengan perkongsian tersebut, Paris berharap agar mana-mana syarikat atau perkhidmatan awam menaiktarafkan kemudahan buat golongan OKU.
"Hal bukan-bukan laju saja nak tular dan komen bena tak berfaedah, kenapa bila benda-benda penting seperti sifat perikemanusiaan, orang kita buat-buat tak endah.
"Masyarakat kita ini bila acah-acah jadi champion rakyat bersikap memilih , sedangkan banyak lagi orang memerlukan yang boleh kita bantu," ujarnya lagi.
Majoriti cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada syarikat terbabit berhubung isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram