[VIDEO] Bunuh bayi sendiri, bekas penuntut kolej menangis terlepas hukuman mati


Nur Izzati dibebaskan serta-merta oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyebabkan kematian bayi lelaki enam tahun lalu. — Gambar Hiasan

SEORANG bekas penuntut kolej yang sebelum ini dihukum mati kerana melemaskan bayi lelaki yang baru dilahirkannya di dalam mangkuk tandas asrama enam tahun lepas menangis apabila dibebaskan serta-merta oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu selepas dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi Nur Izzati Adi, 26, yang memohon pertuduhan lebih ringan iaitu daripada membunuh kepada menyebabkan kematian.

Nur Izzati kemudian mengaku bersalah dan panel itu menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadapnya yang bermula dari tarikh tangkap iaitu 30 Mac 2017.

"Perayu dibebaskan serta-merta hari ini (Selasa) dan saya arahkan warden penjara untuk membuka gari perayu dan perayu boleh berjalan keluar dari mahkamah dengan lapang dada,” kata Hadhariah yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Mohamed Zaini Mazlan.

Pada 10 April 2017, Nur Izzati didakwa membunuh mangsa di tandas asrama perempuan aras tiga Kolej Pertanian Malaysia Bukit Kayu Hitam, Kedah pada pukul 5.20 petang 30 Mac 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Mokhzani Faris Mokhtar berkata AGC menawarkan pertuduhan di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaaan dan boleh dihukum mengikut Sekyen 309B kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda kepada Nur Izzati.

Peguam Datuk Amirul Ridzuan Hanif, yang mewakili tertuduh, mengesahkan perkara itu dan mencadangkan hukuman penjara sembilan tahun bermula dari tarikh Nur Izzati ditangkap.

Mohammed Mokhzani Faris tidak membantah tempoh hukuman penjara itu.

Selepas prosiding, Nur Izzati yang sebelum ini ditahan di Penjara Pokok Sena dilihat berpelukan dengan ahli keluarganya.

Pada 14 Jun 2020, Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman mati selepas Nur Izzati didapati bersalah membunuh bayi lelaki berkenaan.

Dia kemudian mengemukakan representasi kepada AGC pada 11 April lepas bagi meringankan hukuman terhadapnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram