TINDAKAN licik seorang lelaki dipercayai mencuri barangan kemas di sebuah kedai emas dengan melarikan diri membawa padah apabila aksinya itu dirakam kamera litar televisyen tertutup (CCTV) premis berkenaan.
Kejadian itu difahamkan berlaku di Kedai Emas Dan Permata Sri Anggun, Gombak, Selangor.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan di laman Facebook Kedai Emas Dan Permata Sri Anggun pada Isnin, difahamkan kejadian itu berlaku pada pukul 11 pagi, Ahad.
"Mohon sebarkan, kes kehilangan rantai tangan dan cincin. Kejadian berlaku pada Ahad sekitar pukul 11 pagi," tulisnya.
Pentadbir laman Facebook berkenaan turut meminta lelaki tersebut untuk memulangkan barang kemas sebelum pihaknya membuat laporan kepada pihak polis.
"Kepada tuan yang mengambil secara sengaja atau tidak sengaja, sila pulangkan barang tersebut dalam tempoh 24 jam sebelum pihak kami membuat tindakan selanjutnya.
"Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang suspek di atas mohon hubungi pihak kami," katanya lagi.
Dalam video berdurasi dua minit 29 saat itu, lelaki tersebut berpura-pura menjadi pelanggan kedai berkenaan.
Dia juga dilihat bertindak licik, menyembunyikan gelang tangan dalam genggaman tangan sebelum meletakkan barangan kemas tersebut dalam poket baju ketika kakitangan kedai tersebut melayan pelanggan yang lain.
Selepas misi mencurinya itu berjaya, dia kelihatan beredar daripada premis kedai tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengecam tindakan lelaki terbabit.
"Semua kedai emas ada CCTV, muka pun nampak jelas. Tak boleh nak lari ke mana-mana. Berani betul suspek ini, harap pekerja lebih berhati-hati, tak kira pelanggan lelaki atau perempuan," kata Siti Noraini Mahabob.
"Aku pelik betul dengan lelaki yang sihat badan seperti ini nak mencuri, dia tak sedar ke dia memalukan kaum lelaki. Baju bukan main bergaya tetapi mencuri," kata Hasnul.
"Jangan salahkan kakitangan, tengok cara lelaki ini berpakaian. Pakai iPhone, iWatch dan beg silang itu aku rasa berjenama juga. Siapa sangka 'Si Doraemon' ini mencuri. Nampak macam kaya bergaya tetapi miskin mencuri," kata Ahmad Saad.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa. Majoriti juga sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut daripada pemilik kedai berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram