'Inspektor Sheila' hina anggota polis ditahan di Batu Caves


  • 112
  • Ahad, 18 Jun 2023

Tangkap layar video tular yang memaparkan wanita dipercayai mengaku sebagai pegawai kanan polis itu berang selepas diminta oleh anggota polis terbabit untuk menunjukkan kad kuasa sebagai bukti.

PEGAWAI polis wanita yang terbabit dalam kejadian menghina dan mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada anggota polis pangkat bawahan di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Khamis lalu, ditahan polis pada Ahad.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan wanita berusia 35 tahun itu dibuat awal pagi tadi bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.

“Wanita itu akan diberi jamin petang ini selepas melengkapkan keterangannya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Inspektor Sheila' buat hal lagi, kali ini tular kes berebut parkir dengan orang awam

Pada Sabtu, suspek yang juga penjawat awam itu sudah memberikan keterangan di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan video tular satu kejadian memaparkan seorang anggota polis dimarahi dan dimalukan wanita dipercayai mengaku sebagai pegawai kanan polis ketika sedang menjalankan tugas di Medan Selera Lebuh Utama, Taman Sri Gombak, Batu Caves pada Khamis.

Menerusi video berdurasi 26 saat itu, wanita berkenaan yang memakai baju kemeja putih dilihat meninggikan suara terhadap anggota polis berkenaan sambil merendah-rendahkan dan mempersoalkan pangkat anggota terbabit.

Dalam pada itu, pada Sabtu, turut tular satu lagi video membabitkan pegawai polis wanita itu di kawasan parkir pusat beli-belah di Brickfields, Kula Lumpur.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat wanita terbabit, kejadian berlaku ketika dia bersama ibu dan neneknya yang berada di dalam kereta.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang sebuah kenderaan ingin masuk ke parkir kosong dan pemandu membunyikan hon serta memarahi wanita terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram