[VIDEO] Tidak puas hati ditegur rider penghantar makanan punca sekumpulan lelaki bergaduh di Kota Warisan


  • Tular
  • Selasa, 20 Jun 2023

Tangkap layar memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di Kota Warisan, Sepang, Selangor baru-baru ini.

DUA klip video memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh sehingga mengganggu ketenteraman awam tular di media sosial sejak Isnin.

Pergaduhan itu berlaku di hadapan sebuah pusat beli belah dekat Kota Warisan, Sepang, Selangor.

Pergaduhan tersebut turut dimuat naik di halaman Facebook B40 Buat Perangai Apa Hari Ini oleh seorang individu yang dikenali sebagai Ehh Tokk Uda Rupanya.

Melalui maklumat yang dikongsikan warga maya, pergaduhan itu berlaku melibatkan dua kumpulan yang berbeza.

Menurut Muhd Shazwan, pergaduhan itu berpunca daripada teguran salah seorang penghantar makanan terhadap tindakan seorang penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya di lokasi kejadian.

"Orang awam menunggang motosikal laju siap lalu-lalang depan pintu Kipmall. Kena tegur dengan rider (penghantar makanan).

"Tak puas hati kena tegur, penunggang motosikal itu mengadu pada abang dia. Nak dijadikan cerita, abang dia datang pukul rider. Bila sudah kecoh macam itu, orang ramai tolong rider itu pula," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna warga maya Muhammad Haziq turut berkongsi satu tangkap layar perbualan menceritakan kejadian tersebut seperti yang dikongsikan Muhd Shazwan.

7c80f5d4-8be5-4088-8712-9a82556ccd82

Tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikongsikan warga maya. — Facebook

Dalam dua video tular tersebut, kelihatan beberapa orang lelaki saling tumbuk-menumbuk dan menjerit antara satu sama lain.

Salah seorang daripada mereka juga dilihat menghentak kepala seorang lelaki menggunakan topi keledar.

Turut kelihatan beberapa orang awam cuba meleraikan pergaduhan tersebut.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram