[VIDEO] Monyet liar di Batu Caves: Perhilitan bertindak lepas terima aduan penduduk


  • 112
  • Khamis, 15 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan sekumpulan lelaki yang didakwa menembak beberapa ekor monyet liar di Batu Caves, Selangor. — Twitter

POLIS mengesahkan aktiviti menangkap monyet liar di kawasan pinggir hutan di Batu Caves, Selangor dilakukan selepas menerima aduan menyatakan monyet-monyet liar telah menganggu dan merosakkan harta benda penduduk sekitar.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner, Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengenal pasti satu video yang tular di media sosial berhubung kejadian tersebut sekitar pukul 7 malam, Rabu.

Menurutnya, video itu memaparkan aktiviti menangkap monyet liar di kawasan pinggir hutan.

“Semakan mendapati, satu laporan polis telah diterima daripada seorang wanita warga tempatan berusia 34 tahun berkenaan kerja-kerja menangkap monyet liar yang telah merosakkan harta benda penduduk pada Selasa.

“Hasil siasatan pihak polis, kerja menangkap monyet tersebut telah dijalankan oleh Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Hulu Selangor.

“Aktiviti tersebut dilakukan atas aduan pihak persatuan penduduk itu sendiri yang mana monyet-monyet liar telah menganggu serta merosakkan harta benda penduduk,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Begitupun, kenyataan itu tidak memperincikan tindakan Perhilitan yang didakwa menembak monyet-monyet liar terbabit seperti mana yang didedahkan penduduk sebelum ini.

Dalam pada itu, Zainal turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh mengelirukan dan menjejaskan ketenteraman awam.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan mengenai seorang lelaki yang berang melihat sekumpulan individu menangkap monyet di kawasan berkenaan dan meletakkannya ke dalam kereta pacuan empat roda.

Difahamkan penduduk berkenaan merakam kejadian itu untuk diberikan kepada pihak berkuasa sebagai bahan bukti.

Pengguna akaun Twitter yang memuat naik video tersebut mendakwa, kejadian menembak monyet tanpa rasa belas kasihan sebenarnya telah beberapa kali terjadi di kawasan itu.

Sedangkan katanya, monyet-monyet di situ tidak pernah mengganggu penduduk sekitar. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram