Wanita 'lunyai' kena tendang, pijak kerana didakwa mencuri


  • Benua
  • Rabu, 07 Sep 2022

Tangkap layar video yang memaparkan seorang wanita ditendang dan dipijak kerana didakwa mencuri. — Agensi

TULAR di media sosial satu video memaparkan seorang wanita dibelasah dua lelaki selepas didakwa mencuri telefon bimbit dan wang tunai di Tangerang, Banten, Indonesia.

Menerusi video tersebut, wanita berbaju kuning itu ditahan dan diminta duduk di sebuah sofa.

Menyedari dirinya dirakam, wanita itu kemudian cuba untuk menutup wajahnya namun ditahan seorang lelaki yang kemudian menarik rambutnya.

Tidak puas hati dengan tindakan wanita itu yang masih mencuba untuk menutup wajahnya, lelaki itu kemudian menendang muka suspek dengan menggunakan lutut.

Suspek sempat mengatakan dirinya sakit sebelum pengsan secara tiba-tiba dan terjatuh ke lantai.

Namun, individu yang merakam video tersebut menganggap wanita itu berpura-pura dan memintanya untuk bangun semula.

"Jangan pengsan. Jangan pura-pura pengsan kau monyet," kata lelaki yang merakam video tersebut.

Ketika wanita itu terbaring di lantai, lelaki yang sebelum ini menendangnya kemudian bertindak memijak mukanya.

Rata-rata warganet menyatakan rasa tidak setuju bila wanita itu diperlakukan sedemikian walaupun didakwa melakukan kesalahan.

"Orang itu sudah tidak melawan, kenapa dipukul lagi. Bawa ke balai polis. Memang dia salah, tapi tak perlu dihukum sendiri," kata Joe.

Ada juga warganet yang meminta supaya dua lelaki itu juga ditangkap kerana melakukan kekerasan terhadap wanita. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram