[VIDEO] Nasib baik pakai 'seat belt', Aliff Syukri nyaris cedera kereta mewah kena rempuh dari belakang


  • Tular
  • Rabu, 14 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan situasi kemalangan yang menimpa Aliff Syukri pada Rabu.

PENGASAS D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman didakwa mengalami kemalangan apabila kenderaan yang dipandunya dilanggar dari arah belakang secara tiba-tiba.

Video kemalangan itu dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Rabu.

Katanya, dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Petaling Jaya, Selangor itu, dia hanya memandu secara perlahan disebabkan jalan raya ketika itu sangat sesak.

"Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba kereta saya dilanggar dari arah belakang padahal jalan sesak sangat-sangat pada waktu ini.

"Saya bawa perlahan tiba-tiba kepala terhentak sakit sangat. Ujian sungguh untuk saya.

"Syukur saya selamat terima kasih korang yang sentiasa doakan saya, maaf kalau saya beremosi sebab saya amat stres dan terkejut," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Rabu.

Berdasarkan video berdurasi 47 saat itu, Aliff Syukri dilihat memarahi pemandu kenderaan yang didakwa melanggarnya.

"Ya ALLAH, apa masalah ni? What happened, you drive lah betul-betul. Aiyoo...my car.

"Kalau aku tak pakai seat belt tadi, dah habis...," katanya dalam video berkenaan.

Suami kepada Datin Seri Nur Shahida Abdul Rashid itu mengakui kecewa dengan insiden yang menimpa dirinya, apatah lagi kereta tersebut tidak pernah terlibat dengan sebarang kemalangan sebelum ini.

"Secara jujurnya saya memang terkejut dan amat kecewa maklumlah walaupun boleh claim insurans tapi tak sama kereta tak pernah ada kemalangan orang rempuh jadi macam ni.

"Awak senanglah cakap cuba awak dekat tempat saya kereta ni saya beli daripada baharu dan saya pakai tak pernah pun ada kemalangan...tiba-tiba orang rempuh," luahnya membalas komen netizen di Instagram.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya berpendapat, kerosakan yang dialami usahawan kosmetik terkemuka itu hanya sedikit sahaja dan boleh dia boleh mendapatkan tuntutan daripada pihak insurans.

"Menurut pandangan saya yang tidak seberapa, kalau kita fokus bawa kereta dengan betul takkan berlaku begini terutama jalan sesak yang sememangnya semua orang tak laju.

"Agak kuat juga ya hentaman kalau remuk begitu. Apa-apa pun kita tunggu sahaja siasatan selanjutnya. Mohon bertabah Datuk," kata alisme.

"Alahai sikit saja tu Datuk, cubalah bersyukur sebab selamat. Kan boleh claim insurans. Kecoh-kecoh di situ buat tambah sesak je jalan. Kecoh je lebih," tulis nina89.

"Reaksi biasa apabila kena langgar memanglah marah. Tidak kira kaya atau miskin pun. Benci jenis ukur asal kaya saja tak apalah sebab kaya. Habis tu ingat orang kaya tak cari duit guna keringat ke?" soal munie_zulkefli. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram