VIDEO muzik kontroversi usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mendapat kecaman hebat hampir dari seluruh rakyat Malaysia sehinggakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menegur atas nasihat kepadanya.
"Sebagai saudara seagama saya ingin nasihatkan.. syurga dijadikan Allah bukan untuk ustaz, ustazah dan tok guru namun untuk golongan yang bertakwa." katanya.
Idris berkata, pada Isnin beliau menjemput Aliff Syukri melalui media untuk bertemu untuk menjalin ukhuwah, berkongsi dan berbincang dalam pelbagai perkara.
"Namun, setakat ini saya belum menerima maklum balas daripada usahawan kosmetik itu lagi," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Mashaf al-Quran Braille Malaysia Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M di Putrajaya pada Selasa.
Tambahnya, seseorang yang dianugerahkan rupa paras yang cantik dan bakat seni daripada ALLAH SWT sepatutnya menggunakan manfaat itu untuk kebaikan diri mereka.
Menurutnya, pihaknya banyak menerima luahan rasa tidak puas hati daripada netizen menyatakan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) tidak serius dalam menangani isu berkenaan.
"Dari awal lagi, kami sudah mendapatkan maklumat dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) kerana kementerian itu yang bertanggungjawab, tambahan pula bidang kuasa Jakim ada had tertentu.
"Jakim sentiasa bekerjasama dengan K-KOMM apabila berlaku kes seumpama ini," tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan Aliff Syukri menerima kecaman ramai apabila klip video lagu Kelepok Raya yang tidak bersesuaian dengan sambutan Syawal ekoran beliau mempamerkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan perangai lembut. — Harian Metro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram