'Mereka tak kisah jadi badut kebangsaan kutukan negara'


  • Hiburan
  • Selasa, 26 Apr 2022

Ramai pihak kurang senang dengan tindakan Aliff Syukri mengeluarkan video klip lagu raya Kelepok Raya.

ISU membabitkan usahawan komestik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang mengeluarkan video klip lagu raya berjudul Kelepok Raya mengundang kecaman orang ramai.

Adegan tarian dalam video klip itu disifatkan tidak sesuai ditonton oleh masyarakat di negara ini.

Susulan itu, pelbagai pihak menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Aliff Syukri agar perlakuan sebegitu tidak diulang pada masa akan datang.

Pada Selasa, usahawan tersebut diminta hadir ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Cyberjaya bagi memberi keterangan berhubung video klip tersebut.

Seorang pengguna Facebook, Azlan Noor berkongsi pandangan tentang faktor Aliff Syukri sanggup melakukan tindakan sedemikian tanpa memikirkan kesan buruk terhadap kebanyakan pihak serta diri sendiri.

"Pendapat saya, ringkas, ini hanya strategi pemasaran tular, supaya orang sentiasa sebut tentang mereka.

"Tujuan dia satu sahaja, untuk kekal relevan. Mereka tak kisah jadi badut kebangsaan kutukan negara.

"Asalkan setiap hari orang sebut. Semua itu bukan suka-suka, semua itu sudah dirancang dan dibincang secara teliti.

"Sebab dunia digital dalam talian sekarang, tular adalah kata kuncinya.

"Cara nak tular ini senang sangat. Buat benda pelik-pelik. Buat benda yang luar adat dan kebiasaan orang kita.

"Atau saya suka sebut sebagai Pattern Interrupt (PI). Video raya guna watak keluarga, watak mak ayah, adik beradik, sanak saudara semua itu sudah biasa. Tak pelik.

"Guna konsep PI tadi. Ironinya, makin pelik, makin orang geram, makin bagus.

"Lagi senang meletup, sebab boleh undang kecaman daripada warganet. Boleh buat orang bercakap-cakap tentang diri dia," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Antara adegan dalam video klip tersebut yang mengundang kecaman orang ramai. — Facebook

Ujarnya lagi, warganet perlu sentiasa menentang strategi pemasaran berbentuk tular bagi membendung isu sedemikian terus berlaku.

"Henti tularkan tindakan mereka. Itu sahaja.

"Nampak ada orang kongsi pasal benda pelik ini, cukup sekadar tahu. Jangan kongsi.

"Saya ulang, jangan kongsi tulisan, video, gambar dan apa sahaja yang mereka buat.

"Simpan hak eksklusif kuasa kongsi itu untuk benda yang lebih bernilai," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram