Aliff Syukri mengaku tak salah 4 tuduhan muat naik video sumbang


Aliff Syukri didakwa di Mahkamah Sesyen di Sepang, Selangor atas empat pertuduhan.

USAHAWAN selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman didakwa di Mahkamah Sesyen di Sepang, Selangor atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video bersifat sumbang, di akaun Instagram miliknya pada April lalu.

Aliff Syukri mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Rizki Abdul Jalil pada Khamis.

Ahli perniagaan kosmetik itu dilihat memakai sepasang seluar slack gelap dan berbaju kemeja putih, tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi untuk menghadapi pertuduhan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Fazril Sani Mohamed Fadzil, manakala Aliff Syukri diwakili peguam Hasshahari Johari Alwi dan Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Fazril Sani memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun Hasshahari memohon agar mahkamah mempertimbangkan jumlah itu kerana tertuduh bekerja sendiri untuk menyara isteri serta lima orang anak yang masih bersekolah.

Hasshahari berkata, tertuduh juga bertanggungjawab ke atas ramai pekerja yang berkhidmat di syarikatnya.

"Saya percaya mahkamah berpegang kepada tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya.

Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil membenarkan Aliff Syukri diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 November ini sebagai tarikh sebutan semula.

Aliff Syukri membayar jaminan tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram