TIGA beranak berdepan detik cemas selepas dinding rumah yang masih dalam pembinaan menghempap mereka di Jalan Sungai Pusu, Gombak, Selangor pada Selasa.
Difahamkan, dalam kejadian tersebut dinding rumah berkenaan tiba-tiba runtuh dan menghempap ketiga-tiga mangsa yang sedang beristirahat sebelum dihempap dinding berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 2.35 petang Selasa.
Salah seorang anggota bomba dilihat cuba menenangkan anak mangsa yang menangis selepas kejadian dinding rumahnya runtuh. — Bomba
Menurutnya, sebuah jentera bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus panggilan kecemasan diterima.
"Sebuah keluarga warga tempatan terdiri daripada seorang lelaki berusia 35 tahun cedera parah, manakala isterinya berusia 30 tahun dan anak lelaki berusia dua tahun cedera ringan.
"Pihak bomba memberi rawatan awal kepada semua mangsa dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram