[VIDEO] Remaja dijemput ajal kena hempap pokok tumbang ketika ribut di P.Pinang


  • Tular
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan keadaan pokok tumbang setelah dilanda ribut di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang pada Sabtu.

SEORANG penunggang motosikal menemui ajal setelah dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang pada Sabtu.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala beberapa pengguna jalan raya yang lain cedera.

Difahamkan, mangsa lelaki yang maut berumur 18 tahun dan menetap di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi itu dipercayai turut melibatkan dua buah kenderaan jenis Marcedes Benz dan Perodua Myvi termasuk dua motosikal jenis Yamaha Y15 dan Avantis.

Difahamkan, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut, sementara mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis.

Sebelum ini, tular video berdurasi 59 saat di media sosial menunjukkan keadaan ribut yang melanda kawasan berkenaan pada awal pagi Sabtu.

Insiden itu menyebabkan aliran trafik di lebuhraya berkenaan menjadi sesak.

Belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram