[VIDEO] Allahuakbar! Penduduk Alor Setar mengucap panjang puting beliung terbangkan atap rumah


  • Tular
  • Isnin, 20 Mac 2023

Tangkap layar video tular memaparkan keadaan kepingan atap diterbangkan puting beliung.

SUASANA di sekitar sebuah kawasan perumahan menjadi gawat seketika selepas dilanda puting beliung kecil atau lebih dikenali sebagai fenomena belalai air, baru-baru ini.

Menerusi video tular, fenomena belalai air itu tidak jelas kelihatan, namun ia sempat menerbangkan kepingan atap rumah diselangi dengan angin kencang.

Keadaan itu mencemaskan penduduk tempatan yang khuatir akan keselamatan diri masing-masing, selain risau harta benda mereka bakal mengalami kerosakan.

Turut didengari dalam video berdurasi 1 minit 18 saat itu ialah laungan azan penduduk, yang meminta pertolongan keselamatan daripada ALLAH SWT.

"Allahuakbar!, Allahuakbar!," laung suara dalam video berkenaan.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Taman Sri Abadi, Alor Setar, Kedah.

Bagaimanapun tiada laporan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut termasuk jumlah kerosakan atau kemalangan jiwa.

Januari tahun lalu, ratusan rumah di beberapa kawasan iaitu Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya, dekat Ipoh, Perak didapati terkesan dengan kejadian ribut dan puting beliung.

Oktober lalu, Majoriti melaporkan bahawa, lebih 20 rumah di Kampung Undang, dekat Marang, Terengganu rosak selepas dibadai puting beliung.

Kejadian itu mengejutkan penduduk apabila kepingan atap berterbangan di udara, selain ada beberapa pokok tumbang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram