LELAKI berusia 41 tahun yang tinggal di Hutan Simpanan Meru, Ipoh, Perak selama enam hari sejak 3 Jun lalu rupa-rupanya mengalami masalah skizofrenia (halusinasi).
Dia yang dipercayai bergerak dari Kuala Lumpur ke Ipoh dengan menaiki bas diselamatkan oleh anggota bomba dan penyelamat pada awal pagi Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menggunakan ambulans Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Doktor memaklumkan dia berada dalam keadaan stabil namun tekanan darahnya agak rendah kerana tidak makan selama enam hari.
"Lelaki berkenaan pernah dirujuk kepada doktor psikiatri di Hospital Kuala Lumpur tahun lalu dan dalam pengawalan ubat kerana masalah tersebut, namun mangsa berhenti mengambil ubat sejak Januari tahun ini.
“Pegawai penyiasat ke hospital untuk menemu bual mangsa dan dia menyatakan masuk ke Hutan Simpanan Meru pada 3 Jun lalu kerana mahu tinggal bersendirian dan tidak suka hidup bersama manusia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Yahaya memberitahu, lelaki terbabit juga merupakan seorang penganggur dan anak yatim piatu yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur.
"Mangsa memberitahu bahawa dia tinggal bersendirian sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1999," ujarnya.
Sementara itu, tambah Yahaya, mangsa yang tidak makan sejak masuk ke dalam hutan simpanan itu turut memaklumkan dia membeli parang dari sebuah kedai untuk masuk ke dalam hutan.
"Namun kira-kira pukul 1 pagi tadi mangsa mendapati dia sesat dan memerlukan bantuan kerana mengalami masalah sesak nafas serta menghubungi JBPM untuk meminta bantuan.
"Polis sudah pun menasihatinya untuk tidak melakukan perkara yang akan mendatangkan kemudaratan selepas ini, dan mangsa turut berjanji untuk tidak mengulangi perkara seperti ini lagi,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram