Lagi cubaan jatuhkan Zamsaham? Ahli keluarga pemain TRW buka pekung isu Kelantan FC


  • Podium
  • Ahad, 14 Mei 2023

nama Zamsaham kembali hangat pada Sabtu selepas tular satu video di sosial media didakwa mengandungi suara dipercayai miliknya yang menggunakan kata-kata kesat ketika berkomunikasi dengan pekerjanya. — Facebook/TRW Kelantan FC

BAGAIKAN tidak ada kesudahan.

Itulah ungkapan boleh digunakan bagi menggambarkan masalah yang melanda skuad Kelantan FC pada musim ini.

Malah boleh dikatakan, berita mengenai isu dalaman dan luar padang dialami The Red Warriors (TRW) didapati lebih kerap mewarnai perbincangan mengenai pasukan tersebut berbanding prestasi pasukan.

Bermula dengan berita perubahan ketua jurulatih seawal minggu keenam perlawanan, sehinggalah kepada isu seperti kelewatan pembayaran gaji dan pemergian beberapa tonggak import utama pasukan.

Antara sosok yang menjadi tumpuan utama dalam beberapa isu berbangkit ini tentunya ialah pemilik Kelantan FC, iaitu Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.

Beliau dilihat menjadi sasaran kemarahan bukan sahaja penyokong TRW tetapi juga beberapa bekas pemain dan staf yang mempertikaikan caranya menguruskan pasukan.

Pada masa sama, terdapat juga segelintir pihak yang dilihat cuba berterusan menyerang beliau termasuk dengan cara memburuk-burukkan namanya.

Terbaharu, namanya kembali hangat pada Sabtu selepas tular satu video di sosial media didakwa mengandungi suara dipercayai miliknya yang menggunakan kata-kata kesat ketika berkomunikasi dengan pekerjanya.

Rakaman suara itu dipercayai diambil daripada perbualan di dalam sebuah kumpulan aplikasi WhatsApp.

kelantan

Kelantan FC hanya memperoleh empat mata daripada 10 perlawanan yang diharungi. — Facebook/TRW Kelantan FC

Ekoran daripada video tular itu juga, terdapat individu mendakwa merupakan ahli keluarga kepada pemain TRW pada musim ini yang tampil turut menceritakan situasi sama dihadapi pasukan tersebut.

Dakwaan tersebut yang tular menerusi satu tangkap layar hantaran Facebook itu turut membangkitkan mengenai beberapa isu lain dihadapi pemain dan staf skuad Kelantan FC pada musim ini.

"Wallahi, saya sebagai ahli keluarga players TRW 2023, memang inilah yang players, staf selalunya hadap. TRW players hanya dapat stres memanjang, dengan kelengkapan training tak cukup.

"Padang teruk, alasan asas untuk player semua tak ada, tapi Zam hanya mengharapkan kemenangan. Dia tak fikir nak bermain perlukan sokongan moral, semangat, gaji dan kelengkapan latihan," tulisnya.

Dakwanya, pelbagai lagi masalah dalaman lain turut dialami namun ia tidak dapat didedahkan kerana terikat dengan peruntukan di dalam kontrak.

Majoriti cuba mendapatkan pencerahan daripada Zamsaham berhubung dakwaan itu namun tiada penjelasan lanjut diberikan.

Untuk rekod, Kelantan FC ketika ini menunjukkan prestasi agak buruk apabila berada kedudukan kedua tercorot Liga Super selepas hanya memperoleh empat mata daripada 10 perlawanan yang diharungi.

Malah, pasukan Pantai Timur itu juga mencatatkan lapan kekalahan berturut-turut dalam kesemua perlawanan terakhir yang dilalui dan turut mencatatkan bolos tertinggi dalam kalangan pasukan bersaing iaitu 34 bolos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram