AKSI ‘El Clasico Malaya’ berakhir dengan kemenangan memihak kepada Selangor FC yang menyaksikan skuad Gergasi Merah mudah mengaibkan Perak FC 4-0 di laman sendiri dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Perlawanan di Stadium Perak, Ipoh itu menyaksikan dua jaringan dari Ayron del Velle, selain Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal masing-masing menyumbangkan satu cetakan gol buat Gergasi Merah.
Selain kekalahan memalukan tersebut, aksi Liga Super ke-11 itu juga dicemari dengan insiden pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan sehingga kejadian tersebut terpaksa ditenangkan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Kepahitan yang terpaksa ditelan skuad The Bos Gaurus (TBG) itu sedikit sebanyak masih memberi kesan mendalam kepada penyokong dan masih ramai di kalangan pemain ke-12 skuad Seladang kesal dengan prestasi pasukan kesayangan mereka.
Pasukan Seladang kini hanya mampu merekodkan dua kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan selepas bertarung dalam 11 perlawanan Liga Super.
Dengan rekod kurang memuaskan itu, tidak banyak yang diharapkan penyokong selain rombakan pemain dilakukan dan menggesa agar pemain bertaraf tonggak kebangsaan dapat menyarung jersi Perak menjelang perpindahan kedua nanti.
Sekali pun, pihak pengurusan tidak mempunyai dana yang banyak, namun opsyen meminjam pemain dari kelab Liga Super lain boleh menjadi solusi kepada pasukan TBG.
Tangkap layar dari Silver Retro.
Idea meminjam beberapa pemain tersebut dikemukakan oleh laman Facebook penyokong Perak FC, Silver Retro sambil memuat naik gambar Hazwan Bakri, Luqman Hakim, Safawi Rasid dan bekas tonggak tengah TBG, Kenny Pallraj yang seperti menyimpan hasrat untuk melihat empat pemain itu akan menyertai TBG.
“Bukan suruh beli, pinjam sekejap sahaja...... Budak-budak itu (alami) tekanan, pasukan tak kuat...Itu yang mula tumbuk manusia. Jangan esok-esok, penyokong mula bercakap dengan dinding...sebab team ceroi (tak kuat), Yang T20 pun kadang-kadang koyak, ini kan pulak yang B40,” katanya.
Dengan kehadiran beberapa pemain yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya itu diharapkan dapat memberi tonik baharu kepada Perak FC yang kini hanya bergantung harap kepada tenaga muda sahaja.
Dua pemain Johor Darul Takzim (JDT), Hazwan dan Safawi menjadi antara tonggak Harimau Selatan yang dikaitkan akan memberikan kepakaran mereka kepada kelab Liga Super lain seperti Terengganu FC, Kelantan FC, dan Perak FC.
Bagi Kenny yang kini beraksi sebagai pemain tengah Kuala Lumpur City FC pernah meluahkan hasrat untuk kembali menyarung jersi Perak FC sekiranya mendapat peluang tersebut satu hari nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram