'Saya sangat bangga dengan awak, sawoku', isteri Awang Askandar luah rindu, hargai suami sepanjang 13 tahun perkahwinan


  • Massa
  • Isnin, 22 Mei 2023

Gambar kenangan Awang Askandar bersama anak-anak. — Facebook Siti Hafizah

RINDU yang tidak 'terungkap' adalah pada orang yang sudah tiada.

Begitulah yang dirasakan oleh Siti Hafizah Abdul Hamid, isteri kepada Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia ketika misi menawan Gunung Everest baru-baru ini.

Meskipun sedih akan berita pemergian suami tercinta, Siti Hafizah menerusi hantaran di Facebook meluahkan betapa dia bangga dengan suaminya dan tahu dia sudah lakukan yang terbaik.

"Saya sangat bangga dengan awak, sawoku (suamiku dalam Bahasa Kadazan). Saya tahu abang sudah cuba yang terbaik, saya tahu abang mahu pulang ke pangkuan kami dalam keadaan bernyawa.

"Hari-hari abang cuba hubungi kami, tak pernah lepas ucap saya sayang awak dan rindu awak setiap kali 'video call', setiap masa mahu tengok anak-anak.

"Tapi ALLAH SWT lebih sayang abang, saya perlu reda, Alhamdulillah terima kasih sudah jadi suami yang sangat hebat selama 13 tahun," katanya pada Isnin.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berjanji akan terus kuat menghadapi dugaan itu demi anak-anaknya.

2

Siti Hafizah akui suaminya sering mendahulukan dirinya dan keluarga dalam segala hal. — Facebook Siti Hafizah

Kongsinya, Awang Askandar merupakan seorang suami yang baik dan sering mendahulukan isteri dan keluarga dalam segala hal.

"Abang suami yang sangat baik, selalu dahulukan pendapat isteri, selalu cuba tunaikan semua permintaan isteri dan anak-anak, walaupun sibuk bekerja, tidak pernah sehari pun abang abaikan kami.

"Abang memang seorang bapa yang sangat sayangkan semua anak, selalu pesan dengan anak-anak 'bantu mama , dengar cakap mama'. Setiap petang lepas balik kerja mesti dia wajibkan anak-anak keluar bermain di luar rumah. Arwah tak mahu anak-anak stres terkurung di rumah, tiada aktiviti fizikal.

"Terima kasih sawoku, awak melayan saya seperti permaisuri. Ramai yang sayang abang, ramai yang mahu hulurkan sumbangan dan bantuan, saya sangat bangga jadi isteri abang," katanya.

Media melaporkan jenazah Allahyarham dijangka dibawa dari kawasan pergunungan Everest ke kawasan selamat, pagi Isnin sebelum ke Kathmandu, Nepal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram