Stres kat tempat kerja, lelaki KL sanggup tinggal dalam hutan dekat seminggu di Ipoh


  • 112
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. — JBPM Perak

GARA-GARA tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi di tempat kerja, seorang lelaki berusia 41 tahun sanggup tinggal di hutan berhampiran Terminal Meru Raya, Ipoh, Perak selama enam hari sejak 3 Jun lalu.

Dia dilaporkan bergerak dari Kuala Lumpur ke Ipoh dengan menaiki bas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat dilakukan selepas menerima satu panggilan mengenai keadaan mangsa sekitar pukul 11.44 malam, pada Jumaat.

Menurutnya, maklumat awal memaklumkan mangsa memasuki hutan berkenaan melalui laluan pencawang pembahagian utama (PPU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) dekat Jabatan Audit Negara.

"Mangsa dapat dihubungi melalui talian telefon.

"Anggota kemudiannya membuat pencarian di sekitar lokasi dan menemui mangsa pada jam 2.46 pagi dalam jarak 3.2 kilometer," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, mangsa yang dijumpai dalam keadaan berpakaian warna jingga dan seluar jeans biru berada dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi disertai 10 anggota itu tamat pada pukul 3.53 pagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram