SEORANG pekerja restoran steamboat di Cameron Highlands, Pahang mengakui masih trauma selepas insiden ditampar lelaki yang terlibat dalam satu kejadian tular dengan menunjal kepala seorang wanita pada Isnin lalu.
Pelayan restoran yang hanya ingin dikenali sebagai Dennis berkata, dia turut berterima kasih kepada seorang wanita yang berani mempertahankan dirinya serta rakan sekerja yang lain pada ketika itu.
"Jujur saya cakap saya masih trauma. Seumur hidup, ini kali pertama saya dikasari seperti itu oleh orang yang tidak dikenali.
"Saya ditampar sebanyak empat kali, dimarah dan dimaki hanya kerana makanan yang dipesan lewat selama 45 minit.
"Nasib baik ada seorang kakak dan ahli keluarganya menegur tindakan lelaki tersebut yang berhenti mengasari saya selepas itu," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku sehari sebelum lelaki tular yang dikenali sebagai warga maya 'abang baju merah sado' itu mengasari seorang wanita pada 4 Jun lalu.
Jelas Dennis lagi, dia sudah membuat laporan polis serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang seterusnya.
"Saya dah buat laporan dan kalau boleh nak 'move on'. Apa yang terjadi ini boleh jadikan pengajaran untuk dia, benda dah terjadi.
"Disebabkan sikap panas baran, dia hilang kawalan dan sekarang satu Malaysia dah kenal dia. Mungkin dia rasa dia terlepas selepas mengasari saya tetapi terkena pada orang lain.
"Kalau boleh, saya juga tak nak perkara ini dipanjangkan lagi, tak perlu disensasikan takut pula jadi lain dan boleh menyebabkan fitnah. Biar polis yang uruskan semuanya," katanya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan seorang wanita mendakwa lelaki sama menampar seorang pekerja di salah sebuah restoran di pusat peranginan tanah tinggi itu.
Menurut wanita berkenaan, pekerja yang ditampar itu merupakan pekerja baru dan dilihat tidak melawan sehingga dia terpaksa bersuara untuk menghentikan tindakan lelaki tersebut.
Media tempatan melaporkan suspek yang tular dalam rakaman memukul kepala dan mengugut seorang pemandu wanita itu direman selama tiga hari.
Perintah reman bermula Rabu sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah di Mahkamah Majistret Tapah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram