BELUM pun reda kejadian tular melibatkan seorang lelaki bertindak biadap dengan menunjal kepala seorang wanita di Cameron Highlands, Pahang pada Selasa, timbul pula satu video seorang wanita mendakwa lelaki sama menampar seorang pekerja di pusat peranginan tanah tinggi itu.
Melalui video yang dimuat naik di akaun TikTok @cadar_puterichantique pada Rabu, dia memaklumkan kejadian itu berlaku pada Ahad lalu.
"Bukan nak rumitkan keadaan tetapi saya dah ternampak video abang baju merah yang tular itu dan saya teringat lelaki sama menampar salah seorang staf restoran G**y S****t.
"Kejadian ini memang terjadi depan keluarga saya ketika kami sedang memesan makanan di premis berkenaan dan kebetulan meja kami berada di depan kaunter pembayaran.
"Pada mulanya kami tidak mahu untuk masuk campur tetapi lelaki itu bertindak dengan lebih agresif dengan membaling makanan serta menampar seorang lagi staf di restoran makanan tersebut berkali-kali," katanya.
Menurut wanita berkenaan, pekerja yang ditampar itu merupakan pekerja baru dan dilihat tidak melawan sehingga dia terpaksa bersuara untuk menghentikan tindakan lelaki tersebut.
Dakwanya lagi, lelaki tersebut turut memarahi mereka kerana menegur tindakannya mengasari pekerja di kedai makan tersebut.
Dalam video berdurasi tiga minit 57 saat, wanita berkenaan turut menasihati lelaki tersebut untuk tidak bertindak sedemikian di kemudian hari walaupun dia mempunyai pangkat yang tinggi.
Menjengah ke ruangan seorang lelaki, Dennis Pillai dipercayai salah seorang pekerja restoran tersebut mengucapkan terima kasih kepada wanita berkenaan kerana mempertahankan dirinya serta pekerja restoran yang lain.
"Terima kasih kepada keluarga kakak ini sebab pertahankan saya dan staf lain," katanya.
Tambah Dennis lagi, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.
Pada Selasa, Majoriti melaporkan seorang lelaki ditahan polis di Serdang, Selangor pada petang Selasa kerana memukul kepala seorang wanita yang didakwa cuba memotong laluan kenderaan ketika menuruni Cameron Highlands di Jalan Tapah - Cameron Highlands.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506/509 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram