SEKUMPULAN lelaki menimbulkan kekecohan apabila dipercayai bergaduh satu sama lain di sebuah kawasan perumahan sekitar Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Disaksikan oleh beberapa penduduk yang berada di sekitar kawasan, rakaman video itu turut tular di laman media sosial.
Melalui video yang dimuat naik oleh Timothy^^ di laman Facebook Persatuan Anak Sabah Di Semenanjung pada Rabu mendakwa, pergaduhan itu tercetus ekoran daripada perselisihan faham daripada beberapa individu yang melibatkan dua kumpulan berbeza.
"Gaduh melibatkan dua negeri, punca tak tahu tetapi masing-masing bawa geng. This is Kepong Fighting," katanya.
Dalam video berdurasi seminit 36 saat tersebut kelihatan sekumpulan lelaki berkenaan kejar-mengejar antara satu sama lain di sebuah jalan raya yang agak lengang.
Turut kedengaran mereka menjerit ke arah satu sama lain.
Difahamkan, video tersebut pada mulanya dimuat naik di laman TikTok dan didakwa melibatkan penduduk tempatan dan masyarakat Sabah yang menetap di kawasan tersebut, namun video itu sudahpun dipadamkan semula oleh pemilik asal.
Seorang pengguna Facebook Ainor Mariani, turut memuat naik satu status di laman Facebook yang sama menasihati mereka yang terlibat dalam video tersebut agar tidak bertindak secara berlebihan dan saling menghormati.
"Tular video di TikTok budak Sabah bergaduh dengan orang Semenanjung di Kepong.
"Nasihat saya, jagalah nama negeri kita dengan sebaik mungkin, bila merantau ingat balik tujuan awal kita datang ke sini untuk kerja atau untuk tunjuk samseng di tempat orang?
"Cubalah menghindar diri dari perkara yang boleh memburukkan nama negeri kita, jangan sampai orang sini berfikir yang penduduk Sabah ini berperangai dan bersifat negatif," katanya.
Setakat berita ini belum dapat dipastikan punca dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.
Masih belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram