PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) berazam meneruskan momentum kejayaan dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super berdepan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jumaat.
Menurut ketua jurulatih skuad Harimau Selatan, Esteban Solari, kejayaan tersebut dilihat penting dalam usaha meneruskan kesinambungan aksi cemerlang pasukan musim ini.
"Bola sepak sentiasa berkait rapat dengan perlawanan akan datang dan kali ini esok, kami akan menentang Terengganu FC dan pasukan ini menunjukkan peningkatan.
"Oleh itu, perlawanan ini pastinya sukar kerana ketika menentang mereka dalam pusingan pertama sebelum ini, kami turut menerima tentangan yang sengit, apatah lagi kali ini mereka beraksi di laman sendiri.
"Apa pun, kami akan cuba memberikan aksi terbaik bagi meraih tiga mata berharga," katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Untuk rekod, JDT menamatkan saingan pusingan pertama Liga Super musim ini dengan nota cemerlang apabila menewaskan Penang FC, 2-0 di Stadium Bandaraya pada Sabtu lalu.
Sementara itu, Solari berharap tonggak pertahanan import, Jordi Amat, kembali cergas untuk beraksi pada perlawanan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan membuat penilaian terlebih dahulu bagi memastikan pemain berkenaan benar-benar cergas untuk beraksi.
"Kami mahu pastikan dia (Jordi), benar-benar cergas sebelum beraksi nanti," katanya.
Dalam aksi berdepan Penang FC, Jordi dikeluarkan pada minit ke-46 dan digantikan oleh Shahrul Saad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram