[VIDEO] 'Tiada apa nak dikatakan', 10 tahun lepas FAM membisu dikritik TMJ


  • Podium
  • Rabu, 07 Jun 2023

TMJ pernah digantung FAM selama enam bulan kerana kritikan yang dilontarkan.

PADA tarikh 7 Jun 2013, Tengku Mahkota Johor (TMJ) pernah mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana ketika itu FAM tidak membawa sebarang perubahan positif kepada suasana bola sepak negara.

TMJ yang ketika itu merupakan Presiden Johor FA (JFA), menempelak FAM kerana denda yang dikenakan terhadap JFA berhubung rusuhan penyokong di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang ketika separuh akhir Piala FA (perlawanan kedua) pada 28 Mei 2013.

Ketika itu, FAM mendenda Pahang FA sebanyak RM100,000 manakala JDT sebanyak RM200,000 kerana insiden rusuhan penyokong sehingga menyebabkan perlawanan terpaksa ditangguhkan.

Perlawanan separuh akhir itu terpaksa ditangguhkan kepada tarikh baru iaitu 1 Jun 2013 dan bermain di venue berkecuali iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Berhubung kritikan yang dilontarkan TMJ kepada FAM itu mendapat reaksi negatif daripada orang ramai kerana FAM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu terbabit.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad ketika itu berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan diberitahu untuk tidak mengulas mengenai perkara itu.

"Kami tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan, ia adalah hak kami untuk mengulas atau tidak dan tiada siapa boleh memaksa kami berbuat demikian," katanya.

Untuk rekod, ketika itu TMJ sebenarnya digantung enam bulan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak dan didenda sebanyak RM18,000 keseluruhan oleh FAM.

Keputusan FAM itu dibuat ekoran tindakan Tunku Ismail mengkritik dan meluahkan perasaan tidak berpuas hati mengenai mutu pengadilan Liga Malaysia yang ditakrif berada di tahap amatur dan tidak berkualiti.

Selain TMJ, Datuk Seri Shahidan Kassim pernah menjadi mangsa Artikel 88 Statut 2010-2014 FAM apabila digantung dua tahun enam bulan dan didenda RM39,000 kerana kesalahannya mengkritik badan induk itu.

Tan Sri Annuar Musa juga pernah digantung dua setengah tahun kerana melanggar peraturan yang sama. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram