Winger Gergasi Merah mahu ranapkan Kijang Hijau


  • Podium
  • Rabu, 07 Jun 2023

Sekitar aksi Selangor FC ketika ditewaskan oleh PDRM FC di MBPJ baru-baru ini. — Facebook/Selangor FC

SELEPAS dimalukan oleh PDRM FC dalam aksi terakhir pusingan pertama Liga Super 2023, Selangor FC akan memulakan pusingan kedua dengan bertemu Kelantan United FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Bandar Kota Bharu pada Rabu.

Tewas 0-1 kepada pasukan The Cops, ia sedikit sebanyak merencatkan peluang skuad Gergasi Merah untuk mengejar Johor Darul Takzim (JDT) yang terlalu selesa mengungguli carta liga.

Pemain tengah Selangor FC, Haiqal Lau, berterima kasih kerana diberi peluang untuk mendapatkan semula keyakinan untuk beraksi dan percaya pasukan mahukan kemenangan untuk dalam perlawanan seterusnya.

Aliff Haiqal Hakim Lau trains with Selangor. - Photo by Selangor FC

Pemain muda berbakat Gergasi Merah, Haiqal Lau.

"Saya rasa gembira dapat bagi persembahan yang baik dalam tiga perlawanan sebagai kesebelasan utama, semuanya terima kasih kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe kerana berikan kepercayaan tersebut. Jujur ia sedikit sebanyak telah membantu saya dapatkan semula keyakinan untuk beraksi dan berikan yang terbaik kepada pasukan.

“Untuk perlawanan esok (Khamis), kami sepasukan akan 'bounce back' dan cuba untuk dapatkan kemenangan. Kami tak mahu lagi perkara yang sama berulang. Saya yakin rakan sepasukan mahu dapatkan kemenangan ini untuk dapatkan semula momentum terbaik pasukan," tegas Haiqal Lau.

Haiqal yang kebelakangan ini sering mendapat lampu hijau daripada Cheng Hoe untuk menjadi kesebelasan utama dalam skuad Selangor, gembira apabila mula mendapatkan rentak yang baik bersama-sama kelabnya itu.

Pemain yang berumur 22 tahun itu berharap agar terus meningkatkan prestasi dalam memberi impak positif kepada pasukan.

Bagi senarai pemain, menurut pengendali Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe tiada sebarang kecederaan baharu berlaku dalam skuad Gergasi Merah buat setakat ini.

Pihak pengurusan Selangor FC percaya pasukan akan mendapatkan semula momentum terbaik bagi mengharungi Liga Malaysia 2023.

Untuk rekod, pemain sayap kiri itu mencetak satu gol dan hantaran bantuan dengan 11 penampilan bersama Gergasi Merah. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram