Manzoor Azwira gesa Penang FC akhiri kemarau kemenangan lawan KL City


  • Podium
  • Khamis, 08 Jun 2023

Manzoor Azwira mengambil alih tugas Chong Yee Fatt sebagai Ketua Jurulatih Penang FC selepas dia mengalami masalah kesihatan. — Facebook/Penang FC

KETUA jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid, menggesa pasukannya menamatkan rentetan kekalahan menjelang perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Khamis.

Ini selepas pasukan Harimau Kumbang itu tewas kesemua empat perlawanan terakhir, lapor Stadium Astro.

Penang tewas 0-1 kepada Sri Pahang FC pada 20 Mei lalu sebelum kalah 0-1 di tangan Terengganu FC empat hari kemudian.

Mereka kemudian mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Johor Darul Takzim FC (JDT), bermula dengan dibelasah 0-5 dalam suku akhir Piala FA pada 28 Mei lalu sebelum tewas 0-2 dalam saingan liga minggu lalu.

"Mereka (KL City) memiliki rangkaian penyerang yang bagus, (Herlison) Caion dan (Tchetche) Kipre selain (Paulo) Josue juga memiliki hantaran dan sepakan percuma yang mampu dia lakukan dengan baik," kata Manzoor Azwira kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz.

"Jadi, kami perlu menyekat tiga pemain ini daripada beraksi baik malam esok (Khamis).

"Dalam beberapa hari ini, kami telah melakukan latihan kombinasi dan penyudah kerana kami mahu mempertajamkannya memandangkan kami sudah empat perlawanan tidak dapat menjaringkan gol.

"Kami mencuba untuk mendapatkan kembali momentum jaringan kami," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram