Pentingnya pendidikan, JDT pastikan pemain akademi miliki diploma


  • Podium
  • Rabu, 07 Jun 2023

Sekitar perbincangan kelab JDT bersama UTM. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) kekal mengungguli carta teratas dengan memegang rekod tanpa kalah dalam pusingan pertama saingan Liga Super 2023.

Kemampuan pasukan JDT dalam kancah bola sepak pastinya tidak diragukan lagi kerana dibarisi oleh pemain yang cukup berdisiplin, berpengalaman dan cemerlang dalam setiap penampilan ketika diturunkan.

Walaupun menjadi pasukan yang digeruni dan cemerlang dalam dunia bola sepak tanah air, namun, pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) nampaknya tidak melupakan masa depan pelatih di Akademi JDT.

WhatsApp Image 2023-06-07 at 20.05.36 (1)

Barisan pemain Akademi JDT. — Facebook/ JOHOR Southern Tigers.

Menurut satu kenyataan di laman rasmi Facebook, JOHOR Southern Tigers, JDT dalam perbincangan bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan mewujudkan Program Diploma Sains Sukan dan Kecergasan untuk pelatih Akademi JDT.

"Kelab JDT dan UTM sedang dalam peringkat akhir perbincangan lanjut untuk Program Diploma Sains Sukan & Kecergasan khas untuk pelatih lepasan sekolah Akademi JDT," katanya dalam kenyataan tersebut.

Program tersebut akan menawarkan pilihan kepada pelatih Akademi JDT untuk meneruskan pengajian sambil mengejar impian mereka menjadi pemain bola sepak.

Difahamkan, bagi mereka yang mengikuti diploma mempunyai pilihan untuk melengkapkan ijazah sarjana muda dan perkara itu akan memastikan pelatih Akademi JDT mempunyai pelajaran untuk jaminan pada masa hadapan.

Di samping itu, JDT dan UTM juga telah mengaturkan sesi taklimat kepada para pelatih Akademi JDT untuk menyedarkan anak-anak muda tentang pilihan mereka di universiti selepas sekolah menengah. Antara yang hadir termasuk Alistair Edwards, Ketua Pegawai Eksekutif JDT dan K.Sukumaran, Pengurus Pembangunan Bola Sepak JDT.

Tambahan pula, JDT dan UTM juga mempunyai hubungan yang sangat baik beberapa tahun kebelakangan ini yang mana Pelatih Akademi JDT sepenuh masa tinggal di Asrama UTM dan menggunakan kemudahan sukan di sana.

Akademi JDT adalah satu-satunya akademi sepenuh masa kelab bola sepak profesional yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan.

Oleh itu, tidak hairanlah nama JDT menjadi sebutan para penyokong bola sepak tempatan kerana mempunyai pengurusan bola sepak yang terbaik di negara ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram