'Rakyat boleh hidup tanpa ahli politik', Umno 'goyang' bakal dikuburkan


  • Politik
  • Khamis, 08 Jun 2023

Perhimpunan Agung Umno 2023 berlangsung selama empat hari bermula Rabu sehingga Sabtu di WTCKL.

UMNO digesa mengukuhkan semula penjenamaan parti keramat orang Melayu itu agar ia kekal relevan dalam kalangan rakyat.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Umno perlu bekerja keras untuk memastikan sifat parti yang dahulunya diminati, disayangi dan diingini dikembalikan semula.

Ujarnya, era kebangkitan semula parti itu dapat dilihat ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan menerusi beberapa siri pilihan raya, selain ia menjadi bukti bahawa Umno tidak pernah ketandusan dalam menyediakan supply yang baik kepada rakyat.

“Umno sebenarnya masih mempunyai kualiti untuk menyediakan penawaran kepada rakyat. Di hadapan saya inilah (Pemuda) supply yang Umno ada kepada rakyat.

“Rumah Pemuda Umno sentiasa melahirkan pemimpin-pemimpin berwibawa. Tetapi walau sebagus manapun kualiti supply yang kita ada, ia hanya sia-sia jika tiada permintaan daripada rakyat jelata," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2023 (PAU 2023), di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.

Muhamad Akmal menyeru ahli-ahli parti yang meninggalkan Umno agar kembali ke pangkuan parti

Beliau tidak menafikan prestasi Umno terjejas teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu ekoran rakyat terlalu menekan pemimpin parti mengenai isu-isu nasional dan isu dalaman parti yang berlaku sebelum pilihan raya.

“Kita perlu akur, pada PRU15, jenama Umno telah terjejas teruk. Saya sendiri menerima face to face feedback berkenaan branding parti ketika turun berkempen pada PRU15," katanya.

Sementara itu Muhamad Akmal turut menyeru ahli-ahli parti yang meninggalkan Umno agar kembali ke pangkuan parti dalam usaha mewujudkan kembali era kegemilangan mereka.

“Umno tak mampu untuk berpecah, Umno tak mampu untuk bertelagah, jangan kita sindir-sindir ahli parti kita yang di luar, jangan perkecilkan mereka di luar (ahli yang keluar), mereka juga mempunyai jasa kepada parti kita.

“Tugas kita adalah ambil mereka kembali duduk dalam Umno bantu Umno, rapatkan saf kita, bila terlalu banyak perbezaan pendapat, orang itu salah orang ini sala, hakikatnya kita perlu sedar bahawa kedudukan Umno berada pada tahap paling bawah,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram