'Apakan daya itu cara mereka...', Shahidan Kassim 'cuit' lagi isu lantikan politik


  • Politik
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Shahidan berkata, pelantikan dalam GLC sepatutnya melibatkan golongan profesional.

SEPUCUK surat memaparkan jawatan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) didominasi oleh beberapa ahli politik di bawah Kerajaan Perpaduan kini tular di media sosial.

Menerusi surat daripada Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri bertarikh 17 Mac itu, pelantikan itu melibatkan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bekas Ahli Parlimen Kapar dari PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tekun Nasional.

template - 2023-03-24T110944.203

Sany Hamzan (kiri) dan Abdullah Sani (kanan) didakwa mengetuai Tekun Nasional.

Salinan surat yang mengandungi kepala surat Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu turut menamakan Ahli Parlimen Hulu Langat dari parti Amanah, Mohd Sany Hamzan dilantik sebagai Timbalannya.

Pada masa sama, bekas Presiden Upko, Bernard Dompok dilantik sebagai Pengerusi SME Corp, yang juga berada di bawah kementerian sama.

Belum ada hitam putih diterima pemimpin berkaitan

Sementara itu, Sany Hamzan berkata, beliau masih belum dimaklumkan mengenai pelantikan tersebut.

"Saya masih belum dapat sebarang surat dan hitam putih daripada Pejabat Perdana Menteri," katanya kepada Majoriti.

Pada masa sama, Abdullah Sani berkata, beliau juga tidak dimaklumkan mengenai pelantikan itu selain tidak menerima sebarang surat.

"Saya belum dapat sebarang tawaran hitam putih dan tidak menghubungi pihak berkaitan. Apa-apa pun kita tunggu menteri yang umumkan," ujarnya ketika dihubungi.

337857717_877132920021173_4301349484555099899_n

Surat berhubung pelantikan ahli politik dalam GLC tular baru-baru ini.

Turut mengulas, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah berhubung pelantikan tersebut, apatah lagi ada di antara mereka merupakan rakannya.

Namun, Ahli Parlimen Arau itu berkata, perkara tersebut bertentangan dengan perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini tidak mahu pelantikan GLC daripada kalangan orang politik.

"Ini terpulang kepada mereka tapi saya rasa parti yang melanggar manifesto tidak lagi layak untuk disokong.

"Sepatutnya mereka melantik golongan profesional. Tapi, apakan daya itu cara mereka berjanji kepada rakyat.

"Sekarang kita hanya boleh bersuara namun mereka yang berkuasa dan boleh buat apa sahaja," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, kerajaan menerima pelbagai kecaman berhubung beberapa siri pelantikan politik bagi mengetuai agensi kerajaan dan GLC dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Ini termasuk pelantikan penyokong setia Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengetuai dua badan kerajaan yang bertanggungjawab besar dalam pembangunan ekonomi Bumiputera.

Bekas ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dinamakan sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), sementara Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dikekalkan sebagai pengerusi Felcra.

Selain itu, Ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, dinamakan sebagai pengerusi cabang pelaburan milik kementerian kewangan MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Bukan itu sahaja, bekas Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram