'Tampilkan wajah lama langkah sia-sia', PN perlu kaji calon pilihan menjelang PRN


  • Politik
  • Jumaat, 05 Mei 2023

PN perlu tampilkan calon-calon muda dan baharu untuk terus maju ke depan.

KHABAR angin tentang penyertaan Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi bertiup kencang di negeri tersebut.

Walaupun kedua-dua nama Shahidan dan Khairy dikatakan tidak tersenarai dalam calon PAS di Selangor, kehadiran figura tersebut secara tidak langsung memberikan impak kepada arena politik di negeri jajahan Pakatan Harapan (PH) sejak 2008.

png_20230505_074851_0000 (1)

Dari kiri: Khairy, Shahidan, Tengku Zafrul.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, penampilan tokoh-tokoh ternama tersebut tidak akan memberi sebarang kesan signifikan kepada pengundi-pengundi di Selangor menjelang PRN nanti.

Malah katanya, langkah yang diambil oleh Perikatan Nasional (PN) dengan menampilkan wajah-wajah lama dalam dunia politik adalah sia-sia dan perlu dikaji semula.

"Nama-nama yang disebut ini bukannya mempunyai rekod yang terlalu cemerlang, tiada impak di Selangor kerana pengundi-pengundi dalam negeri ini jauh terbuka dan ke hadapan.

"Lebih baik pengundi pilih calon yang muda dan berkaliber. PN perlu melihat begitu," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut tentang kredibiliti calon, Mohd Yahya berkata, PKR yang menampilkan wajah-wajah muda dan baharu sebagai calon mampu bersaing dengna calon dari parti lain yang lebih gah.

Katanya, perkara tersebut dibuktikan apabila parti tersebut berjaya merampas Selangor daripada BN yang ketika itu dipimpin oleh bekas Menteri Besarnya, Dr Mohamad Khir Toyo pada tahun 2008 dan kekal berkuasa hingga kini.

1944259

Mohd Yahya.

Tambah beliau, selain Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, wajah-wajah yang ada ketika itu ialah tokoh muda yang kini menjadi exco negeri mahupun menteri.

"Saya rasa PN tidak berjaya gilap wajah baharu dan tidak yakin dengan orang muda. Bagi parti baharu yang ingin ke depan, mereka perlu ketengahkan tokoh-tokoh muda, barulah nampak baharu.

"Bagi tokoh-tokoh lama yang ada rekod pernah bertanding (pilihan raya) dan memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, lebih baik jadi coach," katanya yang berkecimpung dalam dunia politik sejak 30 tahun.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yahya turut mengulas tentang kenyataan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang dijangka menyertai PRN Selangor dengan tiket PN.

Katanya, Noh sebagai seorang pemimpin veteran sepatutnya melatih bakat-bakat baharu yang boleh menggantikan tempatnya untuk bertanding dalam pilihan raya.

35FA37B2-0EDE-44F4-B6E9-74F2AC7F37E5

Noh.

"Kalau beliau rasa terlalu hebat, tidak perlu bergantung kepada PN untuk bertanding. Sepatutnya hantar diri sendiri sebagai calon bebas, barulah orang hormat.

"Jadi PN perlu pun fikir semula jika mahu terima Noh dalam parti. Kalau beliau nak jadi coach atau guru (untuk gilap calon baharu), itu lebih baik, bukan untuk jadi calon lagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram