[VIDEO] PN sedia 'talkinkan' Umno di Selangor, Kelantan, Terengganu dan Kedah


  • Politik
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Wan Ahmad Fayhsal ketika ditemui pemberita di IPD Dang Wangi pada Jumaat.

PERIKATAN Nasional (PN) yakin Umno di negeri Selangor, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan 'terkubur' dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, sebenarnya ramai kepimpinan Umno yang kesal dengan kesepakatan BN dan Pakatan Harapan (PH), namun terlalu takut untuk melawan presidennya.

Dakwanya lagi, akar umbi Umno dan BN yang tidak setuju dengan kerjasama kedua-dua gabungan parti itu akan menunjukkan sabotaj mereka dalam PRN.

"Saya pun ada ramai kawan-kawan (daripada) Umno. Akar umbi Umno dan BN akan mengundi PN kerana mereka tidak boleh menerima perselingkuhan antara BN dengan PH.

"MCA dan MIC, di mana kerusi mereka ? Tidak ada. Di Selangor, Kedah, Pulau Pinang semua tidak ada.

"Berapa banyak ketua bahagian Umno akan dapat kerusi-kerusi mereka? Pergilah minta DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya jamin Umno akan dapat kerusi yang paling sedikit di semua negeri-negeri khususnya di Selangor. Jadi akan ada pemberontakan dalaman dan kami PN akan sedia membantu 'mentalkinkan' Umno di Selangor, Kelantan, Terengganu dan Kedah," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai ramalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa gabungan parti di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan retak dan berpecah.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang menjelaskan, ramalan itu tidak lain hanyalah kata-kata orang yang cemburu dengan perpaduan ummah PN.

"Kita tengoklah semua majlis jamuan raya yang dibuat PN berbanding dengan mereka. Jauh beza.

"Yang hadir berkali ganda berbanding dengan apa yang Ahmad Zahid dapat di Bagan Datuk. Jadi saya nampak ini adalah satu peralihan yang menunjukkan kelemahan kepimpinan beliau terhadap Umno dan BN sendiri," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram