[VIDEO] Selepas digantung Umno, Tajudin sekali lagi mohon maaf, nak selesaikan secara baik dengan Zahid


  • Politik
  • Ahad, 07 Mei 2023

Tajuddin sebelum ini sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia pads Julai tahun lalu.

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sekali lagi meminta maaf kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas kelantangannya mengkritik parti tersebut.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata beliau ingin menyelesaikan isu tersebut dengan cara baik kerana masih sayangkan parti berkenaan.

"Sebagai Pengarah Pilihan Raya dan MKT saya tiada salah cuma kerana bersuara lantang dalam isu-isu berkepentingan parti.

"Mungkin Datuk Seri (Ahmad Zahid) terasa hati dengan kenyataan-kenyataan itu, saya sekali lagi mohon maaf. Dalam isu ini, saya hendak selesaikan cara baik kerana saya sayangkan Umno," katanya di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Gajah, Perak Tengah, Perak pada Ahad.

Dalam pada itu, Tajuddin turut menyatakan dia bersedia membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang jika keahlian beliau dikembalikan.

Beliau juga optimis terhadap keputusan rayuan mengembalikan keahliannya bagi meneruskan perkhidmatannya atas tiket parti kesayangannya.

"Jika dilepaskan penggantungan itu, saya jadi ahli parti yang aktif berkempen untuk Umno. Saya sudah hulur tangan persahabatan, yang sudah itu sudahlah. Saya harap mereka dapat menerima huluran tangan persahabatan demi parti.

"Saya bersedia hadapi kemungkinan sama ada terima atau tidak. Saya tidak akan berputus asa perjuangan dengan Umno," katanya.

Pada Jun tahun lalu, Tajuddin dipecat daripada MKT Umno kerana menggesa Ahmad Zahid berundur kerana menganggap tokoh tersebut menjadi liabiliti kepada parti.

Media kemudiaannya turut melaporkan pengguguran Tajuddin sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia pada bulan seterusnya, dan penggantungan keahlian partinya pada Oktober tahun lalu akibat disyaki kerana menentang pucuk pimpinan parti tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram