[VIDEO] Lelaki mengamuk di Putra Heights, baling air panas terkena budak 4 tahun


  • Tular
  • Selasa, 06 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki mengamuk sehingga melempar bungkusan nasi dan air panas di Restoran Darlis Nasi Dagang, Putra Heights, Selangor.

TULAR video memaparkan seorang lelaki mengamuk sehingga bertindak melempar bungkusan nasi dan air panas dipercayai di Restoran Darlis Nasi Dagang, Putra Heights, Selangor sekitar pukul 9.15 pagi pada Ahad.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran itu menunjukkan, lelaki yang memakai baju berwarna kuning tersebut sepertinya bercakap dengan nada marah, namun tidak dapat dikenal pasti individu yang dimarahinya.

Lebih mengeruhkan keadaan, air panas yang dibalingnya didakwa terkena seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

Menerusi video tersebut, kedengaran suara kanak-kanak menangis sejurus selepas lelaki berkenaan membaling bungkusan makanan dan minuman tersebut.

Tidak hanya itu, dia dilihat beberapa kali menendang meja dan membaling kerusi di hadapannya sekuat hati dalam keadaan marah.

Bagaimanapun, punca lelaki tersebut mengamuk masih belum dapat diketahui setakat ini.

Video tular berdurasi dua minit dua saat yang dimuat naik di Twitter itu mendapat reaksi warga maya yang tidak berpuas hati dengan tindakan tidak wajar lelaki berkenaan.

"Kalau kena pada anak aku, memang masuk lokaplah dia. Tak kisahlah aku yang tumbang atau kau yang tumbang, janji aku pertahankan anak aku," tulis DAshroff.

"Apa masalah dia nak cari pasal mengamuk tak tentu arah, sampai budak kecil jadi mangsa," kata Haikal95.

"Kalau aku jadi bapa budak tu, memang aku ajar dia cukup-cukup," marah Damienhaikal.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram