Mengamuk nak cederakan famili, penebang pokok miliki pistol Revolver dicekup positif dadah di Kelantan


  • 112
  • Ahad, 04 Jun 2023

Mohd Haki (tengah) menunjukkan sepucuk pistol jenis Revolver S/W 357 Magnum Smith/Wesson bersama enam butir peluru yang dirampas di Kampung Air Murbo, Jedok pada Sabtu. — Bernama

SEORANG penebang pokok ditahan kerana memiliki sepucuk pistol jenis Revolver S/W 357 Magnum Smith/Wesson bersama enam butir peluru di Kampung Air Murbo, Jedok, di Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, tangkapan dibuat selepas anggotanya menerima laporan daripada orang awam berkaitan suspek berusia 40 tahun itu mengamuk dan mengugut untuk mencederakan ahli keluarganya pada 2.55 petang.

"Lelaki itu ditahan di rumahnya dan pemeriksaan lanjut ke atas beg silang yang dipegang suspek menemukan pistol terbabit bersama enam butir peluru dan lima biji dadah jenis pil yaba.

"Dia mendakwa pistol terbabit diperoleh daripada rakannya sejak dua minggu lepas untuk tujuan melindungi diri semasa bekerja sebagai penebang pokok di dalam hutan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah pada Ahad.

Menurut Mohd Haki, suspek direman tujuh hari bermula Ahad dan hasil ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, serta Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama,” katanya. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, pistol, penebang pokok, Tanah Merah, peluru