[VIDEO] 'King' pun undur, gajah sesat bikin pemandu di Tasik Kenyir cemas


  • Tular
  • Rabu, 24 Mei 2023

Tangkap layar sebuah kereta memberikan laluan kepada sekumpulan gajah yang melintas di laluan Tasik Kenyir daerah Hulu Terengganu bersempadan Kelantan pada Selasa.

SEORANG pemandu berhadapan detik cemas apabila didatangi tiga ekor gajah yang melintas dan menceroboh masuk ke laluan jalan raya di Tasik Kenyir daerah Hulu Terengganu bersempadan Kelantan pada Selasa.

Risau dengan situasi tersebut, kereta berkenaan kemudiannya terpaksa berundur dari kawasan terbabit bagi memberi laluan kepada haiwan itu melintas.

Di sebalik insiden terbabit, kedengaran jeritan seorang individu yang turut mengarahkan kenderaan itu segera berundur dari laluan berkenaan.

Dikongsikan di laman media sosal, rakaman berdurasi 56 saat itu menerima lebih 10,000 jumlah tontonan setakat ini selain turut mengundang kerisauan dalam kalangan masyarakat di situ.

Kenderaan jenis Myvi yang terkenal dengan gelaran 'King' itu terus beredar dan mengelak dari ketiga-tiga haiwan berkenaan seperti diarahkan si perakam.

Dalam pada itu, menerusi ruangan komen rata-ratanya menganggap situasi itu satu perkara berbahaya dan pemandu perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

"Pemandu kena hati-hati, kawasan situ sebelum ni jarang diceroboh gajah tapi sekarang dah makin banyak mungkin sebab tiada makanan ataupun hutan dah ditebang," ujar Sophia Shanoon.

"Kalau terserempak gajah jangan hon, lebih baik berhenti ataupun undur cepat, kalau tekan hon lagi la dia mengamuk silap-silap boleh kena rempuh," kata Amin Aminuddin.

"King pun undur, kalau kereta lain mesti kena lenyek dah, tengok gajah tu pandang pun lain macam je," jelas Aiman Radzi.

Namun, tiada sebarang kemalangan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu dan orang ramai digesa sentiasa berhati-hati ketika memandu di laluan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram