SEORANG rakan Siti Bainun Ahd Razali mendedahkan Pengasas Rumah Bonda itu pernah 'naik hantu' gara-gara salah seorang penghuninya terlebih menggunakan bawang sewaktu memasak hidangan sup ayam sekitar dua tahun lalu.
Syahirah Mohd Ikhsan, 26 berkata, akibat berang, Siti Bainun tanpa rasa bersalah bertindak membaling mangkuk kaca yang diletakkan di atas meja makan ke arah penghuni berusia belasan tahun itu.
Syahirah yang terkejut menyaksikan kejadian tidak disangka-sangka itu hanya mampu terdiam.
"Saya kawan dengan (Siti) Bainun sejak 2020. Dia pernah ajak pergi rumah. Dari situ saya nampak perangai 'angin' dia.
"Saya lebih kerap berada di rumah perlindungan. Ada pernah beberapa kali saya melihat Siti Bainun memarahi penghuni atas sebab hal yang sangat kecil.
Syahirah Mohd Ikhsan.
"Seingat saya, depan mata saya sendiri pernah ada seorang penghuni guna bawang lebih nak masak. Makanan itu dah siap dimasak dan dihidangkan atas meja pun.
"Tetapi apabila Siti Bainun datang dan memeriksa lauk tersebut, dia mengamuk sampai campak makanan itu pada penghuni yang masak. Bayangkan, benda kecil macam itu pun boleh jadi isu," katanya kepada Majoriti.
Sementara itu, ketika ditanya tentang keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun, Syahirah berkata, dia amat bersyukur atas kebenaran dan keadilan yang ditunjukkan oleh ALLAH SWT.
Kongsinya, disebabkan terlalu berdebar, dia hanya tidur kira-kira dua jam ketika malam sebelum perbicaraan keputusan akhir kes pembelaan Siti Bainun pada Rabu.
"Saya tak tidur pun malam tadi. Jam 4.30 pagi baru dapat tidur tapi itu pun cuma terlelap sekejap sebab 6.30 pagi dah bangun.
"Namun setelah dua tahun berjuang, bila dia dah didapati bersalah, seluruh badan saya rasa lega," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram