[VIDEO] Kes tular lelaki berparang ugut keluarga, jiran di Kepala Batas berlaku 2 bulan lepas — Polis


  • 112
  • Jumaat, 19 Mei 2023

Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine. — Gambar hiasan

HATI ibu mana yang tidak sayu apabila anak yang dikandung dan dibesarkan sejak kecil 'rosak' angkara bahan terlarang.

Melalui sebuah video tular yang dikongsikan di laman di laman Facebook Kementerian Netizen Malaysia pada Khamis memaparkan seorang lelaki mengamuk di dalam sebuah rumah.

Kejadian tersebut didakwa berlaku di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Difahamkan kejadian tersebut dirakam oleh ibu kepada lelaki berkenaan.

"Aku seorang ibu yang tak mampu berkata apa-apa, hanya mampu mendoakan yang terbaik buat anak tetapi mereka sanggup membuatkan ibu susah hati seperti ini.

"Tak tenteram hidup, sampai bila aku nak teruskan hidup seperti ini,"luahnya.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan warga maya, Khairul Awang mendakwa anak lelaki kepada wanita terbabit mengamuk kerana tidak diberikan duit untuk membeli dadah.

"Anak dia mengamuk mak tak bagi duit beli dadah. Mula-mula dia pi (pergi) kacau jiran.

"Siap bawa parang semua, ugut semua orang. Kalau sudah jadi 'tahi dadah' itu memang tak boleh diselamatkan lagi," tulisnya.

Dalam video berdurasi 30 saat berkenaan, kedengaran seorang lelaki menjerit dan merosakkan barang di dalam sebuah rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri mengesahkan kejadian tersebut.

"Polis terkesan dengan sebuah video yang dimuat naik di laman media sosial pada 18 Mei yang memaparkan dakwaan individu mengamuk dan mencederakan ahli keluarganya.

"Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 18 Mac lalu di Permatang Kerai Kecil, Kepala Batas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, berdasarkan laporan yang dibuat oleh jiran, suspek datang ke rumahnya dengan membawa sebilah parang.

"Suspek turut meminta wang upah mesin rumput dari pengadu (jiran) sedangkan pengadu tidak tahu berkenaan urusan tersebut.

"Suspek kemudiannya mengamuk dengan merosakkan motosikal rumah pengadu,"katanya.

Menurut Mohd Asri lagi, ketika serbuan pada hari yang sama, suspek berjaya melarikan diri, namun ditangkap pada 20 April.

"Polis turut merampas sebilah parang yang digunakan suspek pada hari kejadian dan ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

"Suspek dihadapkan ke Mahkamah Butterworth dan dituduh di bawah Seksyen 506/427 KK," katanya.

Mohd Asri turut menasihatkan orang ramai untuk tidak terus menularkan video berkenaan dan membuat sebarang spekulasi yang boleh memecahbelahkan keamanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram