[VIDEO] Pelajar kolej hilang sebelah tangan diserang ketika 'live'


  • Benua
  • Jumaat, 26 Mei 2023

Tangkap layar video dua orang pelajar diserang dan dikejar seorang lelaki pada Selasa malam.

DUA orang pelajar pusat pengajian tinggi di China mengalami kecederaan serius selepas diserang seorang lelaki sewaktu membuat siaran langsung di media sosial pada Selasa.

Menurut laporan media, serangan yang berlaku secara tiba-tiba itu mengakibatkan salah seorang daripada mereka hilang sebelah tangan, manakala seorang lagi cedera di bahagian belakangnya.

Video tular berdurasi 48 saat itu memaparkan pelajar-pelajar tersebut sedang bersiaran langsung dari Kolej Vokasional dan Teknikal Antarabangsa Xiamen Huatian.

Serangan itu dipercayai berlaku di hadapan pelajar lain di sekolah berkenaan.

Berdasarkan video tersebut, kedua-dua pelajar berkenaan dengan nama keluarga Shi dan Ye, dilihat sedang berinteraksi dengan netizen, sebelum seorang lelaki berpakaian hitam tiba-tiba menyerang dari arah belakang.

Mereka kemudiannya cuba melarikan diri, namun lelaki yang kelihatan sedang mengamuk itu dilihat terus mengejar mereka.

Dalam pada itu, terdapat objek yang kelihatan seperti tangan dilemparkan dalam video berkenaan.

Menurut laporan, gambar tangan yang terputus itu adalah milik pelajar lelaki yang bernama Shi.

Video itu kemudian tular di media sosial, namun segelintir netizen mempersoalkan sama ada gambar tersebut sahih atau menggunakan prop semata-mata.

Bagaimanapun, tersebar video yang menunjukkan Shi berada di dalam ambulans dengan lengan kirinya berbalut.

Polis tempatan berkata, pelajar itu ditetak dari belakang menggunakan pisau di kafetaria kira-kira pukul 8.30 malam, yang menyebabkan mereka masing-masing mengalami kecederaan di bahagian belakang dan tangan, namun kecederaan mereka tidak mengancam nyawa.

Suspek dikenali sebagai Luo, melarikan diri dari tempat kejadian tetapi telah ditahan pada Rabu. Luo bertengkar dengan dua pelajar itu dan kemudian menyerang mereka, dan difahamkan kes dan motif serangan masih dalam siasatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram