Tak sampai 24 jam sambut 'birthday', suami kehilangan isteri dan anak akibat kemalangan di Selangau


  • 112
  • Isnin, 05 Jun 2023

Kemalangan melibatkan kereta Perodua Myvi dan Kia Sportage mengorbankan lima mangsa. — Facebook/ JBPM

LIMA terkorban termasuk bayi berusia dua tahun dan ibunya dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Kampung Tamin Sibu menghala ke Bintulu, Sarawak pada Isnin.

Kejadian berlaku sekitar pukul 10 pagi itu membabitkan kenderaan jenis Perodua Myvi yang dilaporkan bertembung dengan Kia Sportage, melibatkan 10 orang mangsa.

Antara yang disahkan meninggal dunia ialah Alicesha Bathrish Langi, 24 tahun; Alessandro Collin Steward, 2; Marcos Marican, 26; Marican@Langkan Legi, 61, dan seorang lelaki dewasa yang belum dikenal pasti identitinya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, seorang wanita dewasa berumur 24 tahun tersepit di tempat duduk Myvi berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala bayinya yang berusia dua tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Selangau.

"Suami mangsa, 25, dan seorang remaja serta kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan parah serta dikejarkan ke Klinik Selangau oleh orang awam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut laporan berkenaan, tiga lelaki dewasa dalam lingkungan usia 26 hingga 61 tahun yang menaiki kereta Kia Sportage juga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Seorang lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke klinik Selangau menggunakan ambulans.

"Kesemua yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan," ujarnya.

Lebih memilukan, difahamkan salah seorang mangsa, Alicesha baru sahaja menyambut hari ulang tahun kelahiran suaminya yang ke-25 pada Ahad.

Salah seorang mangsa, Stewart baru sahaja menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-25 pada Ahad tetapi kehilangan isteri dan bayinya dalam kemalangan pada Isnin. — Facebook/Dorina Bibi

Seorang pengguna Facebook, Dorina Bibi dipercayai saudara mangsa meluahkan kesedihannya atas kehilangan Alicesha dan anaknya.

"Aku masih tak percaya kau (Alicesha) dan Collin tinggalkan kami begitu sahaja dalam sekelip mata. Aku harap kau kuat Stewart ditinggalkan orang tersayang," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Lebih meyayat hati mangsa turut memuat naik gambar bersama keluarga yang diambil baru-baru ini.

Foto keluarga yang dimuat naik di Facebook Alicesha baru-baru ini.

Warga maya turut berduka dan turut menitip doa kepada semua mangsa yang terkorban dalam tragedi itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram