SEKURANG-KURANGNYA 207 orang maut manakala 900 lagi cedera akibat kemalangan ngeri membabitkan pertembungan tiga kereta api di wilayah Odisha, India pada Jumaat.
Difahamkan, ramai penumpang dikhuatiri masih terperangkap dalam insiden tersebut dan Ketua Setiausaha Negara, Pradeep Jena menerusi ciapannya di Twitter menjangkakan jumlah kematian akan meningkat.
Imej dari tempat kejadian yang kini tular di media sosial menunjukkan beberapa penyelamat memanjat bangkai salah satu kereta api untuk mencari mangsa yang terselamat.
Gerabak-gerabak kereta api itu kelihatan musnah teruk dan ada juga gerabak yang terbalik, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat.
Video yang dikongsi di media sosial juga memaparkan ketibaan beberapa ambulans dan orang ramai ditarik keluar dari koc kereta api yang terbalik.
Sementara itu, menurut Menteri Kereta Api Persekutuan, Ashwini Vaishnaw, pasukan penyelamat telah digerakkan dari Bhubaneswar dan Kolkata di Odisha di Bengal Barat pada Jumaat.
Susulan insiden berdarah yang terjadi sekitar 200 kilometer dari ibu kota Bhubaneswa itu, tiga pasukan Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan berada di lokasi kemalangan, manakala enam lagi pasukan sedang digerakkan.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Indian Railways, Amitabh Sharma menjelaskan, dua kereta api penumpang bertembung ketika mereka sedang bergerak dalam nahas itu.
"Kereta api ketiga yang membawa barangan dan tidak bergerak semasa kejadian juga terbabit dalam nahas.
"Kemalangan kereta api kerap berlaku di India sebelum ini tetapi nahas kali ini merupakan antara yang terburuk dan mencetuskan keprihatinan ramai," katanya.
Presiden India, Draupadi Murmu melahirkan rasa dukacita dan berkongsi kesedihan terhadap keluarga yang kehilangan orang tersayang.
Sementara itu, Perdana Menteri, Narendra Modi menerusi ciapan di Twitter turut mendoakan kesejahteraan mangsa yang terlibat dalam tragedi itu.
"Semoga mangsa yang cedera segera pulih," ciapnya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa semua bantuan yang sewajarnya akan diberi kepada mereka yang terjejas. — AFP
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram