DUA lelaki dipercayai cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah jengkaut di Chepor Indah, Chemor, Perak pada baru-baru ini.
Melalui video tular yang dimuat naik di laman Facebook Media Hutan pada Jumaat memaparkan kedua-dua lelaki berkenaan menunggang sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar di sebuah kawasan lapang.
Melalui rakaman televisyen kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah bangunan berdekatan menunjukkan motosikal yang ditunggang penunggang dan pembonceng itu dibawa dengan laju
Namun malang nasib kedua-dua lelaki tersebut apabila mereka tidak menyedari sebuah jengkaut berada di depan jalan tersebut.
Dalam video berdurasi lapan saat itu juga, motosikal berkenaan dilihat merempuh bahagian depan jengkaut selepas penunggang motosikal itu gagal memberhentikan motosikalnya.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan warga maya, Hutan di ruangan komen memaklumkan kedua-dua lelaki mengalami kecederaan serius dan sedang mendapatkan rawatan lanjut di hospital berdekatan.
"Kedua-dua mangsa masih hidup. Doakan yang baik-baik untuk mereka dan jadikan pengajaran untuk kita semua," katanya.
Sementara itu, Mohd Izam berpendapat kemalangan tersebut boleh dielakkan sekiranya lori yang diparkir di tepi jalan berkenaan tidak menghalang pandangan mangsa.
"Salah lori lima tan menghalang penglihatan pemandu jengkaut dan penunggang motor," katanya.
Setakat berita ini ditulis tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.
Pada masa sama, masih belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram