RASA gementar didekati anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ingin memeriksa lesen motosikal mendorong seorang lelaki melarikan diri daripada dicekup dalam kejadian di Kuantan, Pahang pada Isnin.
Kejadian tersebut dirakam menerusi kamera Go Pro yang dipasang pada helmet anggota berkenaan memaparkan aksi mengejar individu terbabit menunggang motosikal dengan laju dan secara melulu untuk mengelakkan dirinya ditangkap.
Video tular berdurasi dua minit dan 10 saat itu turut memaparkan individu tersebut menunggang motosikal secara berbahaya dan beberapa kali hampir bertembung dengan kenderaan lain.
Pada akhir rakaman adegan tersebut, individu terbabit akhirnya menghentikan motosikal di pembahagi jalan, namun meninggalkan motosikalnya dan meloloskan diri daripada pegawai berkenaan.
Video berakhir dengan beberapa helaian kertas dipercayai saman yang dikeluarkan terhadap penunggang motosikal tersebut di atas kesalahan yang dilakukannya.
Dalam pada itu, video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-rata mengecam perbuatan individu terbabit yang sanggup membahayakan pengguna jalan raya lain demi meloloskan diri daripada ditahan.
"Tengok gaya dia lari, bukan lesen sahaja tiada. Macam-macam masalah lagi ini," kata Chak_Own4492.
"Ada bawa 'barang' lah itu. Orang tiada lesen takut dia bukan macam ini," kata Aím Narmí. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram