Kolaborasi Fandi, Dollah terajui Pahang beri tekanan kepada lawan — Jamal Nasir


  • Podium
  • Khamis, 04 Mei 2023

Pasukan Sri Pahang perlu mempertajamkan jentera serangan agar dapat meledak gol pada perlawanan seterusnya.

PENINGKATAN prestasi Sri Pahang FC mampu memberikan tekanan kepada pasukan lain kerana setakat 10 perlawanan dalam Liga Super 2023, mereka masih mengekalkan rekod tanpa kalah.

Walaupun taktikal jurulatih skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad sering mengundang kecaman ramai pihak, rekod yang dipegang oleh skuad Tok Gajah sukar dihasilkan oleh pasukan lain.

Namun begitu, kerjasama antara Fandi dan pengurus pasukan itu, Datuk Dollah Salleh sudah pasti memberikan tekanan kepada pasukan lain berikutan dua nama itu merupakan bekas pemain bola sepak yang terkenal.

jamal

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir.

Sebagai bekas pemain Pahang FC, Datuk Jamal Nasir Abdul Ismail memberikan pendapat mengenai kolaborasi antara kedua-dua individu berpengaruh tersebut.

"So far, saya nampak kolaborasi antara mereka berdua baik dan membuahkan hasil yang mana Pahang setakat ini tidak pernah kalah iaitu empat seri dan enam menang.

"Corak permainan yang ditunjukkan oleh Pahang baik tapi ada beberapa penambahbaikan yang perlu diambil," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, pasukan Pantai Timur itu tidak boleh berpuas hati kerana perlu memperkemaskan lagi corak permainan untuk persediaan perlawanan seterusnya.

Hal ini kerana, dalam saingan Liga Super musim ini, jentera serangan Pahang dikatakan tumpul berikutan hanya mampu meledak 17 gol dalam 10 perlawanan.

Walaupun hanya dibolosi sebanyak tujuh gol, benteng pertahanan perlu dikukuhkan lagi kerana pasukan itu belum bertembung dengan pencabar utama liga super iaitu Johor Darul Takzim (JDT).

"Antara perkara yang perlu diperbaiki adalah pasukan Pahang perlu memperkemaskan benteng pertahanan, mempertajamkan jentera serangan," jelasnya.

Jamal Nasir merupakan seorang legenda pemain bola sepak tempatan era 1970-an yang pernah membantu skuad kebangsaan mencipta beberapa kejayaan termasuk layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Sri Pahang FC selepas ini bakal menerima kunjungan daripada Penang FC di Stadium Darul Makmur, Pahang pada 20 Mei sebagai aksi ke-11 mereka dalam saingan Liga Super 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram