POLIS menahan seorang wanita dipercayai mencuri rantai emas yang dipakai oleh seorang kanak-kanak perempuan ketika berada di Karnival Jom Heboh yang bertempat di Dataran Stadium Shah Alam, Selangor pada Sabtu.
Perbuatan wanita terbabit sempat dirakam secara tidak sengaja oleh ibu saudara kepada kanak-kanak berkenaan dan dimuat naik di laman TikTok @_cheykaaa pada Ahad.
Video tersebut mendapat lebih 2.5 juta tontonan di TikTok setakat ini.
Menurut laporan yang dibuat, ibu saudara tersebut memaklumkan, setelah menyedari barangan kemas tersebut hilang, anak saudaranya yang berumur empat tahun itu telah memaklumkan kepadanya bahawa rantai berkenaan telah ditarik oleh seseorang.
"Rantai tersebut mempunyai tujuh anak loket berbentuk duit yang kecil. Pada ketika itu, kebetulan saya telah terakam kejadian ragut tersebut dan jelas nampak seorang perempuan yang memakai pelitup muka berwarna merah jambu, bertudung coklat dan memakai baju berwarna hitam datang dari arah belakang anak saudara saya itu.
"Nampak jelas perempuan tersebut meragut rantai dia, saya (kemudian) telah memberitahu kepada polis yang bertugas di balai polis bergerak di tapak karnival untuk tindakan lanjut," katanya.
Sewaktu disoal siasat oleh polis di tapak karnival itu, wanita berkenaan masih tidak mahu mengakui perbuatannya, malah cuba untuk memutar belit cerita.
Meskipun wanita terbabit berjaya ditahan, rantai emas berkenaan masih belum dijumpai.
"Tidak dapat rantai, tak tahu dia bagi dekat siapa, tapi peragut dah ke lokap. Masih dalam siasatan rantai dia bagi pada siapa, doa yang baik-baik," katanya dalam video terbaharu yang dimuat naik di media sosialnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim memaklumkan, suspek berusia 35 tahun itu mempunyai enam rekod lampau melibatkan kes kecurian.
Ujarnya, suspek telah ditangkap dan reman diperolehi selama tiga hari bemula Ahad hingga Selasa.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
"Sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd Norazizi Samsuri di talian 014-9472881," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram