Kes ragut di Sungai Buloh, warga emas tewaskan peragut bermotosikal


  • 112
  • Khamis, 01 Jun 2023

Tangkap layar seorang peragut ditangkap orang awam dekat Jalan BRP 7 Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor pada Rabu.

TINDAKAN seorang lelaki yang cuba melarikan diri selepas meragut rantai emas dipakai pesara kerajaan gagal susulan mangsa bertindak menarik motosikal suspek sehingga jatuh di Jalan BRP 7 Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian pada pukul 11 pagi itu berlaku apabila mangsa lelaki tempatan berusia 67 tahun sedang berjalan menuju ke keretanya.

Menurut Shafa’aton, mangsa ketika itu didatangi sebuah motosikal jenis Yamaha Y16 ditunggang suspek yang bertindak menarik rantai emas dipakainya yang bernilai kira-kira RM10,000.

"Menyedari dirinya diragut, mangsa bertindak menarik motosikal tersebut sehingga menyebabkan suspek terjatuh. Mangsa terus memeluk badan suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dengan bantuan orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Shafa’aton berkata, berikutan insiden tersebut, mangsa mengalami luka kecil pada lutut akibat terjatuh dan rantai emas tersebut dirampas semula oleh mangsa.

"Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian membuat tangkapan terhadap suspek dan merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y16. Semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan suspek direman di Mahkamah Shah Alam pada Khamis untuk siasatan lanjut," katanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan satu rakaman tular berdurasi 48 saat yang memaparkan suspek mencangkung di tepi jalan ketika ditahan orang awam.

Si pelaku turut dipaksa untuk tidur dan berbaring sementara menunggu kehadiran polis di tempat kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram