[VIDEO] Ramai tertipu, video ragut kedai emas di Kota Kinabalu hanya 'prank' semata-mata


  • 112
  • Isnin, 29 Mei 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki cuba untuk meragut pelanggan wanita dalam kedai emas tersebut.

BARU-baru ini tular di media sosial satu rakaman video mengenai kejadian ragut di dalam kedai emas di daerah Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden, Kalsom Idris mengesahkan kejadian itu hanyalah lakonan dan rekaan semata-mata.

Menurutnya, susulan penyebaran video berdurasi tiga minit 32 saat itu, polis daerah Kota Kinabalu telah membuat risikan dengan menghubungi pengurus premis berkenaan bagi mendapatkan pengesahan berhubung insiden tersebut.

“Sehubungan itu, pihak pengurus premis mengesahkan bahawa kejadian tersebut hanyalah lakonan dan rekaan semata-mata sebagai inisiatif untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar sentiasa berada dalam keadaan berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan menjadi mangsa ragut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, jelas Kalsom, pihaknya meminta agar pengurus premis tersebut membuat laporan polis bagi mengesahkan insiden dalam rakaman video itu hanyalah lakonan semata-mata.

"Selain memberi penjelasan kepada netizen di media sosial bahawa tujuan video itu disebarkan adalah bagi mengelak kegusaran dan ketakutan dalam kalangan orang ramai khususnya di daerah ini.

"Ini kerana polis IPD Kota Kinabalu sentiasa memastikan tahap keselamatan adalah terkawal dan di tahap yang terbaik," ujarnya.

Kalsom turut menasihatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung rakaman video berkenaan dan tidak mudah mempercayai sebarang isu yang disebarkan dalam media sosial tanpa pengesahan oleh pihak yang berkenaan.

Sebelum ini, tular video memaparkan seorang lelaki bertindak mendekati seorang pelanggan wanita yang berada dalam kedai emas di daerah Kota Kinabalu dan secara tiba-tiba meragut bakul berisi barang kemas yang telah dibeli oleh mangsa dari premis berkenaan sebelum melarikan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram