Penjenayah tunggang Ysuku tanggal no. plat sebelum ragut gelang emas ibu muda depan anak di Shah Alam


  • 112
  • Rabu, 31 Mei 2023

Mangsa dipercayai diragut di hadapan Balai Bomba Seksyen 15, Shah Alam, Selangor pada Selasa. — Facebook/Mohd Yusof Tawil

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang memburu seorang suspek bagi membantu siasatan kejadian ragut di hadapan Balai Bomba Seksyen 15, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya mengambil maklum kejadian tersebut setelah seorang pengguna Facebook dengan nama Shah Mongoose berkongsi tentang insiden berkenaan, sebelum ia menjadi tular.

Menurut Mohd Iqbal, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 37 tahun menyatakan dia telah dihampiri sebuah motosikal ketika menunggang motosikal bersama anak lelakinya menuju ke arah bandar Shah Alam.

"Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, mangsa dihampiri sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 warna biru gelap tanpa nombor pendaftaran, seterusnya meragut gelang emas pada tangan kanan mangsa.

"Mangsa cuba mengejar penunggang motosikal yang meragutnya tetapi gagal," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tangkap layar hantaran Shah Mongoose berkenaan kejadian ragut di Facebook pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan, tiada sebarang kemalangan atau kecederaan dialami oleh mangsa dan anak lelakinya.

Susulan itu, ujarnya, pihak polis daerah Shah Alam sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

"Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asistan Superintenden Mohd Afandi di talian 03-55202222," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram