[VIDEO] Bas terbabas masuk lorong bertentangan di LPT 2 ragut nyawa seorang wanita, 9 lagi penumpang cedera


  • Tular
  • Jumaat, 19 Mei 2023

Tangkap layar keadaan bas persiaran yang terbabas di Kilometer 375 LPT 2, Terengganu pada Jumaat.

SEORANG penumpang wanita maut, manakala sembilan lagi cedera selepas sebuah bas persiaran terbabas di Kilometer 375 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2 dekat Ajil, Bukit Besi, Dungun, Terengganu awal pagi Jumaat.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.16 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

Bas yang membawa 30 penumpang itu dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong bertentangan.

"Mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran dengan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ambulan, manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," kata bomba.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharuddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram