Pemandu mabuk nak balik Cyberjaya rempuh motor bawah ‘flyover’ NKVE ketika hujan, 3 terbunuh


  • 112
  • Ahad, 04 Jun 2023

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.59 pagi Ahad itu telah meragut tiga nyawa manakala tiga lagi penunggang motosikal parah.

TIGA penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera parah akibat dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer 19.6 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah Selatan, di Petaling Jaya, Selangor pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pemandu kereta Honda City itu dipercayai memandu dalam keadaan mabuk lalu hilang kawalan sebelum melanggar enam penunggang motosikal yang sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat kira-kira pukul 5.59 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian kereta tersebut dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cyberjaya.

Keadaan kereta yang dipandu oleh lelaki tersebut selepas merempuh enam penunggang motosikal di bawah jejambat.

“Tiga penunggang motosikal tersebut ialah lelaki berusia 19 hingga 37 tahun, disahkan maut di lokasi kemalangan manakala tiga lagi dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut.

“Seorang mangsa cedera parah kini dirawat di zon merah dan dua lagi mangsa sedang mendapatkan rawatan di zon kuning,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Keadaan salah satu motosikal selepas dilanggar oleh pemandu kereta Hondy City pada pagi Ahad.

Tambah beliau, pemandu kereta berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” jelasnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram