Kaki, punggung gelandangan melecur dibakar lelaki mabuk di Sungai Petani


  • 112
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Seorang gelandangan warga emas melecur di kaki dan punggung selepas tilamnya dibakar seorang individu di Sungai Petani.

TINDAKAN seorang lelaki mabuk yang membakar tilam gelandangan warga emas di kaki lima kedai dekat Sungai Petani, Kedah pada malam Khamis telah menyebabkan mangsa melecur di bahagian punggung dan kakinya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.24 malam ketika gelandangan tersebut yang berusia 62 tahun sedang tidur.

"Ketika nyenyak tidur, mangsa kemudiannya tersedar yang tilamnya terbakar. Dia bagaimanapun tidak nampak siapa yang melakukan perbuatan itu.

"Akibat kejadian itu mangsa melecur di bahagian punggung dan kaki. Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran mendapati, seorang lelaki yang menaiki motosikal telah berhenti di tepi bangunan tersebut dan berjalan dalam keadaan terhoyong-hayang hingga terjatuh disyaki mabuk.

"Di belakang motosikal itu juga terdapat satu tong. Suspek dilihat kemudiannya bangun dan menuju ke lokasi tempat mangsa sedang tidur.

"Rakaman CCTV itu tidak memaparkan perlakuan suspek terhadap mangsa namun lelaki tersebut kelihatan membakar tilam di kaki lima bangunan dan melarikan diri menaiki motosikal," katanya.

Sementara itu, mangsa dan pemilik kedai tersebut menafikan mereka memiliki musuh atau pernah bergaduh dengan sesiapa.

"Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan 324 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram